Bunuh diri di pusat beli-belah Subang Jaya
Astro Awani
Julai 27, 2016 16:07 MYT
Julai 27, 2016 16:07 MYT
Seorang ahli perniagaan maut selepas terjun dari tingkat lima di sebuah pusat membeli-belah di USJ 19 di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun itu ditemui di kawasan tempat letak kereta oleh pengawal keselamatan yang bertugas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Muhammad Azlin Sadari berkata, di tempat kejadian, polis menemui beberapa botol minuman keras serta pil yang dipercayai dadah.
Siasatan mendapati mangsa membunuh diri kerana mengalami masalah rumah tangga dan pemeriksaan juga mendapati tiada unsur jenayah.
“Hasil siasatan teliti yang kita buat bersama pihak forensik menunjukkan ini kes bunuh diri. Kejadian berlaku sekitar 8.10 pagi, terdapat CCTV (kamera litar tertutup) yang merakam insiden.
“Mangsa ditemui dalam kedudukan terlentang, hampir rata jatuhnya. Siasatan ke atas mayat mangsa tidak menjumpai apa-apa kecederaan dari serangan senjata,” kata Muhammad Azlin ketika ditemui di lokasi kejadian.
Kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.