Bunuh anak kekasih: Penganggur menangis sebaik hukuman mati dijatuhkan

Adie Sufian Zulkefli
Januari 21, 2022 15:16 MYT
Tertuduh (berkopiah putih)didakwa membunuh Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan antara 3.45 petang pada 18 April dan 12.10 tengah malam pada 19 April 2018. - Foto Astro AWANI
KANGAR: Seorang penganggur menitis air mata sebaik dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kangar, hari ini atas tuduhan membunuh anak lelaki kekasihnya yang berusia enam tahun pada 2018.
Tertuduh, Noraizuwan Hamali, 30, kelihatan sebak dan menangis sebaik hukuman dijatuhkan Hakim Datuk Azmi Abdullah selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Berdasarkan pertuduhan, Noraizuwan didakwa membunuh Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan, di Nombor 33 Jalan Arau, Lorong Chempaka, Kampung Jejawi antara 3.45 petang pada 18 April dan 12.10 tengah malam pada 19 April 2018.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam Rafidi Mohamad.
Rafidi dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh sudah insaf terhadap kesalahan yang dilakukannya dan berjanji tidak akan mengulanginya di masa hadapan.
Menurutnya, anak guamnya itu bercerai dengan isterinya selain mempunyai dua orang anak berusia 11 dan sembilan tahun yang kini dijaga oleh bekas isterinya itu.
Manakala, Mohd Izham memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mangsa adalah seorang kanak-kanak dan juga anak kepada teman wanitanya.
Menurutnya, kanak-kanak itu mengalami kecederaan serius sehingga membawa kepada kematian.
#penganggur #hukuman mati #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #bunuh anak kekasih
;