Buntu, kelengkapan sekolah anak musnah akibat banjir

Shuhada Abdul Kadir
Mac 6, 2023 10:17 MYT
Rahayu tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan kelengkapan persekolahan anaknya berterabur dan musnah diseliputi lumpur banjir. - Foto Astro AWANI
SEGAMAT: Buntu, hiba dan kecewa apabila kelengkapan persekolahan anak rosak disaluti lumpur akibat banjir.
Itu gambaran perasaan kumpulan ibu bapa yang telah berhabis ribuan ringgit dalam membuat persiapan awal bagi menyediakan kelengkapan anak-anak mereka.
Ainul Azliany Ismail, 37, berkata sejurus cuti persekolahan bermula dia dan suami membuat keputusan untuk membeli barangan keperluan sekolah empat anak mereka kerana tidak mahu membuat persiapan saat akhir.
Katanya, lebih-lebih lagi apabila sesi persekolahan yang akan bermula 19 Mac ini tidak jauh dengan tempoh umat Islam menyambut Ramadan serta Aidilfitri dan memaksanya untuk mengatur perbelanjaan.
Lebih memeritkan apabila bukan sahaja kelengkapan sekolah, malahan duit yuran sekolah empat anak berusia 10 hingga 16 tahun yang telah diasingkan turut hanyut dibawa arus banjir susulan kediamannya dimasuki air sehingga mencecah paras bumbung.
“Saya telah atur (perbelanjaan) yang mana saya keluar belanja untuk sekolah dahulu kemudian kita pun nak sambut Ramadan dan Aidilfitri kan, jadi itu sebabnya saya buat persiapan membeli barang anak-anak lebih awal.
“Tetapi disebabkan bencana banjir ini, barang sekolah yang dah dibeli bukan kata 90 peratus rosak, malahan 100 peratus tidak boleh digunakan kerana semua tenggelam walaupun saya dah cuba simpan di ruangan yang paling tinggi,”katanya kepada Astro AWANI.
Berkongsi perkara sama, Rahayu Jamaludin,49, yang turut terkesan dengan banjir berkata, dia tidak menjangka terpaksa berdepan bencana itu berikutan kedudukan rumahnya di Kampung Jawa Baru, Chaah yang lebih tinggi berbanding penduduk lain.
Malahan katanya, ini merupakan kali pertama dia melalui detik hitam itu dan tidak sempat menyelamatkan barangan peribadi termasuk kelengkapan sekolah anak tunggalnya yang sudah dibeli dua minggu lalu.
“Saya tidak boleh gambarkan perasaan saya ketika ini kerana apabila masuk ke dalam rumah keadaan semua berterabur dan baju sekolah anak yang saya telah beli dua minggu lalu tidak dapat diselamatkan.
“Saya beli awal kerana tidak lama lagi kita nak raya, apabila saya tengok buku semua habis terbalik dengan berlumpur lagi, tidak tahu lah nak cakap macam mana,” katanya sambil menyeka air mata.
Tambahnya, dia yang bekerja sebagai tukang cuci sekolah mengakui kecewa apabila baju-baju sekolah baru anaknya hanyut memandangkan dia sudah menyimpan wang untuk tempoh lama bagi membeli barang kelengkapan itu.
#banjir johor #kelengkapan sekolah #disaluti lumpur #Segamat