Buntu fikir jaga dua anak sakit selepas suami hilang pendapatan

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 8, 2021 07:20 MYT
Noor Suraya berkata, mujur mereka menerima bantuan bulanan JKM dan Baitulmal. - Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Tiada apa yang lebih diharapkan semua ibu bapa melainkan melihat anak yang dipelihara sihat dan mendapat jagaan yang sewajarnya.
Namun bagi Noor Suraya Saidin, 36, dan suaminya, Mohd Idzwan Jamari, 39, keadaan tidak mudah lebih-lebih lagi dua daripada empat anak mereka yang berusia antara 10 hingga 15 tahun mempunyai penyakit serius.
Anak bongsu perempuan berusia 10 tahun lumpuh dan hanya mampu terlantar, manakala anak ketiga lelaki berusia 12 tahun menderita penyakit membabitkan injap jantung.
Keadaan menjadi lebih sukar apabila Mohd Idzwan yang sebelum ini bekerja di syarikat menjual kenderaan berat hilang pendapatan apabila terpaksa bercuti tanpa gaji susulan total lockdown sejak Jun lalu.
Keluarga ini terpaksa mencatu makanan dan kerap juga meminta ihsan jiran serta rakan apabila kehabisan bekalan dan ketiadaan wang.
Noor Suraya berkata, mujur mereka menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 dan Baitulmal (RM300).
"Kami berterima kasih dan bersyukur dengan bantuan diberikan. Namun, kalau diikutkan, ia tidak mencukupi kerana kos keperluan anak yang sakit agak tinggi.
"Susu khas anak bongsu yang juga orang kurang upaya (OKU) agak mahal. Dia pula bergantung sepenuhnya kepada susu itu. Selain itu, dia perlukan lampin pakai buang setiap hari.
"Disebabkan kekurangan wang, kami terpaksa kurangkan pemberian susu kepadanya. Sedihnya hati saya Allah sahaja yang tahu, tapi kami tiada pilihan lain. Saya takut sangat nanti kami sudah tidak mampu membeli susu untuknya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama, di sini.
Dia berkata, wang bantuan yang diterima turut digunakan untuk membayar bil utilti, membeli makanan serta menampung kos pengangkutan untuk rawatan hospital kedua-dua anaknya.
Katanya, dia dan suami cuba mencari pendapatan dengan mengambil tempahan makanan daripada jiran, namun tidak mendapat sambutan disebabkan keadaan semasa.
"Saya harap sangat jika ada yang sudi membantu," katanya.
Antara bantuan yang diperlukan ketika ini adalah kerusi roda khas untuk memandikan anaknya yang lumpuh, selain kos untuk menukar tiub untuk menyalurkan susu pada lehernya.
Noor Suraya ditemui ketika kunjungan wakil Pasaraya Econsave Cash and Carry yang menyumbang keperluan lampin pakai buang dan barangan dapur di rumahnya, pada Sabtu.
BACA: PEMULIH: Golongan miskin tegar, B40, M40 dapat Bantuan Khas COVID-19 bermula Ogos - PM
BACA SEMUA BERKAITAN PEMULIH DI SINI
Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan, kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos.
Menurut Perdana Menteri, bantuan itu bakal memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.
Sejumlah RM300,000 juga diberikan kepada semua Ahli Parlimen bagi program Bantuan Bakul Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mula disalurkan pada 1 Julai.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berhubung perkara ini memaklumkan peruntukan itu turut diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
#anak sakit #keluarga susah #anak lumpuh #terlantar #PPR Uda Utama #lockdown #hilang pekerjaan #PEMULIH
;