Bunkface minta 'Tolong' duduk rumah perangi COVID-19
Sahlizah Mohamed
Mei 4, 2020 12:58 MYT
Mei 4, 2020 12:58 MYT
“Hari-hari tengok berita,
kita menderita angkara tangan sendiri,
pohon semua duduk rumah,
jangan lah keluar untuk sementara ini”
Itu antara bait-bait lirik kumpulan Bunkface menerusi single terbaru bertajuk ‘Tolong’.
‘Tolong’ berkisarkan tentang keadaan dunia memerangi wabak virus COVID-19 yang menyaksikan penduduk di seluruh dunia menjalani proses kuarantin atau pun lockdown dan diminta untuk duduk di rumah sahaja.
Dilancarkan pada 10 April lalu menerusi laman YouTube Bunkface, video klip ‘Tolong’ secara keseluruhannya memamparkan gelagat dan aktiviti rakyat Malaysia di rumah masing-masing.
“Diharapkan lagu ini dapat memberi sedikit sebanyak sokongan moral kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Kami sedar dalam keadaan yang agak terbatas sekarang ini, hampir tiada sesiapa pun yang tidak terjejas sama ada dari segi zahir atau batin,” jelas Bunkface dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah mereka, penyatuan seluruh rakyat Malaysia pasti mampu untuk menangani apa juga masalah yang timbul pada akhirnya.