Bungkusan kecil berbalut benang atas pusara ayah Muhyiddin

Sinar Harian
Jun 17, 2024 23:39 MYT
Menerusi perkongsian video berdurasi 27 saat di TikTok, jelas kelihatan banyak bungkusan kecil tersebut di atas pusara yang dikutip oleh ahli keluarga di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 1, Muar. - Gambar Sinar Harian
MUAR: Bungkusan kecil yang diikat benang seakan-akan buhul sihir di atas kubur Allahyarham Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad, mengejutkan ahli keluarga yang menziarahi pusara tersebut pada pagi Hari Raya Aidiladha.
Allahyarham Mohamad Yassin merupakan ayah kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi perkongsian video berdurasi 27 saat di TikTok, jelas kelihatan banyak bungkusan kecil tersebut di atas pusara yang dikutip oleh ahli keluarga di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 1, Muar.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika dihubungi sedih dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi perbuatan tersebut bertentangan dengan agama.
"Malah, abang di dalam video yang tular itu juga merupakan keluarga Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.
Dr Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, mengutuk sekeras-sekerasnya perbuatan yang boleh mengganggu keharmonian apatah lagi ia salah di sisi agama dan undang-undang.
"Saya minta ahli keluarga yang melihat kejadian itu agar segera membuat laporan polis.
"Pihak polis juga perlu mengambil tindakan bagi menjadi ketenteraman semua orang," katanya.
Allahyarham Mohamad Yassin meninggal dunia pada 1975 pada usia 73 tahun.
Pada 1955, Allahyarham menerima Pingat Sultan Ibrahim sebagai pengiktirafan beliau sebagai seorang daripada 40 tokoh ulama Johor.
Sebelum itu, video terbabit mendapat perhatian ramai yang ingin mengetahui tentang bungkusan tersebut.
Menerusi video yang mendapat lebih daripada 1,000 komen, ada yang menyatakan ia merupakan buhul sihir. - Sinar Harian
#meninggal dunia #buhul sihir #laporan polis #atas pusara
;