Bunga raya dipilih sebagai logo rasmi Kepengerusian ASEAN 2025
Hasimi Muhamad
Oktober 22, 2024 16:52 MYT
Oktober 22, 2024 16:52 MYT
PUTRAJAYA: Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan logo dan tema, dengan memilih bunga raya sempena Kepengerusian ASEAN pada 2025.
Ringkasan AI
- Promosi Perdagangan dan Pelaburan Intra-ASEAN: Malaysia akan mempromosi perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara ASEAN, dengan fokus pada keterangkuman dan kemampanan.
- Malaysia Menjadi Pengerusi ASEAN: Pada 11 Oktober, Laos menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane.
- Sejarah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia: Malaysia telah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali sebelum ini, iaitu pada tahun 1977, 1997, 2005, dan 2015.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bunga raya membawa signifikan yang besar kepada Asia Tenggara memandangkan ia banyak terdapat di negara-negara di rantau tersebut, sekali gus selari dengan tema "Keterangkuman dan Kelestarian".
"Semua warna bendera negara ASEAN ada iaitu empat warna. Ini merupakan mesej yang kita nak tunjukkan kepada masyarakat di rantau Asia Tenggara betapa keperluan untuk terus bersama.
"Jangan terpikat dengan usaha untuk memecahbelahkan kita," katanya dalam sidang media di Kementerian Luar di sini pada Selasa.
Logo rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 merangkumi empat warna iaitu merah, putih, biru serta kuning yang melambangkan semua negara anggota ASEAN.
Reka bentuk logo mencerminkan naratif Malaysia Madani berteraskan enam perkara iaitu KeMampanan; KesejAhteraan; Daya Cipta; HormAt; KeyakiNan; serta Ihsan.
Ia direka oleh Muhamad Khalis Syafiq Mohamad Nasir, yang menjadi pemenang pertandingan logo ASEAN yang diadakan awal tahun ini.
Sementara itu, Mohamad ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan berkata, Malaysia akan berusaha mengukuhkan kepusatan ASEAN, membina kepercayaan strategik dalam kalangan negara melalui dialog yang berterusan, diplomasi dan kemuafakatan.
Pada masa sama, ujar beliau, Malaysia juga akan mempromosi perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN, serta memastikan elemen keterangkuman dan kemampanan menjadi fokus utama dalam usaha-usaha pembangunan komuniti serantau.
Pada 11 Oktober lalu, Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane.
Pada majlis itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tukul simbolik Pengerusi ASEAN daripada rakan sejawatnya dari Laos, Sonexay Siphandone.
Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.