Bung: Saya membawa pistol untuk pertahan diri
Teoh El Sen
Oktober 1, 2013 20:13 MYT
Oktober 1, 2013 20:13 MYT
Ketika Parlimen hangat membahaskan usul pindaan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (PCA), Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin berkongsi bahawa beliau ada membawa pistol.
Beliau berkata pistol tersebut adalah untuk keselamatan diri sendiri.
“Saya tidak suka membawa pistol kerana berat tetapi melihat keadaan sekarang dengan jenayah rompakan dan kes tembak mati yang meningkat.… pendirian saya berubah,” kata Bung di Dewan Rakyat.
"Daripada mati ditembak, saya lebih rela mati bertembak, oleh itu saya membawa pistol untuk mempertahankan diri saya,” kata Bung.
Bung berkata keselamatan orang ramai perlu diberi perhatian walaupun berlainan latarbelakang politik.
Semasa perbahasan pindaan PCA, Bung juga menyoal mengapa Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan undang-undang tersebut.
Beliau juga menambah bahawa pihak pembangkang mungkin mempunyai kaitan dengan geng kongsi gelap.
Sementara itu, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberi amaran kepada ahli-ahli parlimen yang membawa usul yang boleh menimbulkan kekecohan di dalam Dewan.
Komen Pandikar juga dituju kepada Ahli Parlimen PAS (Sepang) Hanipa Maidin yang menyebut tentang kes Altantuya Shaariibuu
“Jika dalam kes Altantuya, kita boleh adakan perbicaraan bagi yang tertuduh, kenapa tidak bagi kes-kes lain? Kenapa perlu ada perbezaan?” tanya Hanipa, di mana persoalan tersebut membawa kepada reaksi berlainan daripada ahli-ahli parlimen BN dan Pakatan.