Bung Moktar, Zizie Izette sekali lagi berjaya pohon tangguh bicara kes rasuah

Bernama
Januari 3, 2023 15:57 MYT
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.- Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, sekali lagi membenarkan permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk menggantung perbicaraan membela diri pasangan itu atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan itu selepas peguam M. Athimulan memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua anak guamnya memohon untuk menggantung pendengaran kes pembelaan tersebut, sementara menunggu rayuan mereka dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria tidak membantah permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette. Sepatutnya, hari ini ditetapkan perbicaraan hari pertama bela diri bagi pasangan suami isteri itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.
Ini adalah kali kedua Bung Moktar dan Zizie Izette dapat menangguhkan prosiding bela diri selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada 23 Sept tahun lepas, membenarkan permohonan pasangan itu untuk menggantung perbicaraan kes tersebut yang dijadual berlangsung pada hari sama (23 Sept).
Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 45, merayu terhadap keputusan Azhar pada 9 Dis tahun lepas yang menolak permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.
Menerusi notis usul difailkan pada 22 Dis tahun lepas, Bung Moktar dan Zizie Izette selaku pemohon berkata terdapat keadaan khas atau luar biasa untuk mewajarkan dan menjustifikasikan penggantungan kes bicara di Mahkamah Sesyen sehingga pelupusan rayuan pemohon di Mahkamah Rayuan.
Kedua-dua pemohon berkata terdapat isu perundangan dalam rayuan mereka yang berkemungkinan besar akan dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan dan sekiranya penggantungan perbicaraan di Mahkamah Sesyen tidak dibenarkan, ia akan mencetuskan ketidakadilan kepada mereka.
Menurut pasangan itu, jika perbicaraan diteruskan, ia akan menyebabkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan menjadi akademik.
Sementara itu, di hadapan Hakim Rozina, Athimulan memberitahu Mahkamah Sesyen berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu dan memaklumkan bahawa pengurusan kes rayuan telah ditetapkan pada 25 Jan ini.
Bagaimanapun, Rozina mengingatkan semua pihak terlibat agar mengambil langkah positif supaya kes berkenaan dapat diteruskan dengan segera berikutan kes itu diibaratkan sebagai 'tiada penghujung' kerana belum selesai sejak 2019.
"Kes masih tergantung tanpa penghujung. Saya pasti tertuduh-tertuduh juga gelisah untuk mengetahui keputusan kes. Namun, mahkamah menangguhkan prosiding bela diri hari ini dan tarikh perbicaraan pada 9 sehingga 13 Jan ini dilapangkan," katanya yang menetapkan 27 Jan untuk sebutan kes.
Pada 2 Sept 2022, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
-- BERNAMA
#Bung Moktar Radin #Rasuah #Zizie Izette Abdul Samad #gantung perbicaraan
;