Bung Moktar naik angin dengan MP Ampang kerana dakwa ceroboh kediaman

Bernama
Jun 17, 2015 22:10 MYT
BUNG MOKTAR: Saya marah terus-terang sebab rumah tangga saya dikacau.
Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin mengecam anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang didakwa telah menceroboh kediamannya di Gombak, tengah hari tadi.
Bung Moktar, yang kelihatan marah, telah mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36 (12) bagi merujuk Zuraida kepada Jawatankuasa Tatatertib kerana disifatkan telah melakukan sesuatu yang tidak baik.
"(Mereka) membawa sepanduk dengan pelbagai tuduhan dan hinaan dengan jeritan reformasi dan sebagainya. Nasib saya tidak ada, kalau saya ada mungkin ada yang mati di situ. (Sepatutnya) apa-apa kita selesai di sini, jangan biadap!" katanya yang mencelah hujah Rafizi Ramli (PKR-Pandan) yang sedang membahaskan Rang Undang-Undang Institusi Kewangan Pembangunan (Pindaan) 2015.
Tindakan beberapa anggota Parlimen pembangkang mempertahankan Zuraida semakin membangkitkan emosi anggota Parlimen dari Sabah itu yang menjawab: "Ini melibatkan maruah dan nyawa keluarga saya... saya marah terus-terang sebab rumah tangga saya dikacau," tegas anggota Parlimen itu yang terkenal dengan kelantangannya.

Berdebat di Parlimen bawa kerumah.mengganggu keluarga siapa tak marah #fact @OnethecrOfts @ybz99 @MyKinabatangan https://t.co/xvKtSHZbyM

— #teamMKP (@matK_P) June 17, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kemarahan Bung Moktar diredakan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang meminta perkara itu tidak dipanjangkan di dalam dewan.
"Kenapa harus dalam dewan, kenapa tidak di luar sana, kamu bergelut di luar, saya tidak nampak," katanya sinis yang memutuskan perkara itu dianggap selesai.
Pergeseran antara kedua-dua anggota Parlimen itu berlaku selepas Zuraida tidak puas hati dengan Bung Moktar yang dikatakan telah mengeluarkan kenyataan berbaur seksis yang didakwa menghina beliau di dewan pada 9 Jun lepas.

Berdemo demi kepentingan diri sendiri @ybz99 sepatutnya membela rakyat di Ampang.@MyKinabatangan pic.twitter.com/CknabylHed

— #teamMKP (@matK_P) June 17, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Zuraida turut mendesak Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee untuk mengarahkan anggota Parlimen Kinabatangan itu menarik balik kenyataannya, tetapi anggota Parlimen dari Sabah itu terlepas dari sebarang tindakan apabila Ronald Kiandee memutuskan tiada niat jahat dalam kenyataan itu sebaliknya Bung hanya berniat menegur.
Tidak puas hati, Zuraida hari ini dilihat membawa penyokong-penyokongnya untuk berdemonstrasi di luar Parlimen dengan pelbagai sepanduk, termasuk membawa gambar Bung Moktar dengan sebelah mata ditutup ala lanun, bagi mengecam kenyataan anggota Parlimen itu.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat, Bung Moktar berkata isterinya telah membuat satu laporan polis kerana berasa terancam dengan insiden tersebut.
Dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari hingga 2.30 petang hari ini, Bung Moktar mendakwa kira-kira 40 wanita yang dipercayai penyokong anggota Parlimen Ampang telah mengadakan demonstrasi kemudian menceroboh kawasan rumahnya di Gombak dan menjerit-jerit serta memaki hamun isterinya.
"Isteri saya ketakutan, dia 'call' saya. Rumah saya tu pagar sedang dibaiki, jadi mereka ini main ceroboh saja masuk kawasan rumah saya," katanya.
Sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai biadap dan tidak bertamadun, Bung Moktar mahu anggota Parlimen tersebut menghentikan tindakan berkenaan di masa depan kerana bimbang akan berlaku pertelagahan antara penyokong mereka.
Ditanya adakah dia akan memaafkan perbuatan tersebut, Bung Moktar berkata dia boleh memaafkan tetapi tidak akan melupakannya dan menolak untuk bersemuka dengan Zuraida seperti dituntut anggota Parlimen itu.
Mengakui akur dengan keputusan Pandikar Amin agar tidak memanjangkan isu itu, Bung Moktar menegaskan tidak timbul isu beliau mengeluarkan kenyataan berbaur seksis terhadap Zuraida kerana dia bukan seorang penentang wanita.
#Bung Moktar Radin #Zuraida Kamaruddin
;