Bung Moktar jual pantun 'kasi panas' pembangkang
Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Mac 7, 2018 18:12 MYT
Mac 7, 2018 18:12 MYT
Dewan Rakyat kecoh hampir setengah jam tengah hari tadi ketika sesi perbahasan usul menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berlangsung.
Tatkala memfokuskan keperluan menggubal akta menangani penularan berita palsu, berlaku pertikaman lidah apabila Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) memulakan perbahasan.
"Mutakhir ini, memang banyak penyebaran berita palsu terutama sekali melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang. Mereka menghasut rakyat, berbohong dengan rakyat, mereka ceramah siang malam, menyebarkan berita-berita yang tidak tepat.
"Inilah kerja mereka. Jadi tidak mengapa, buat sementara waktu ini, sebelum ada akta baharu ini, biarlah mereka menyebar berita palsu sebab saya percaya rakyat tidak akan termakan hasutan mereka," katanya.
Malah, beliau turut menjual pantun dalam memperlihatkan identiti sebenar pembangkang yang dikatakan suka sebar berita palsu;
Apa diharap padi seberang,
Entah dimakan pipit melayang,
Apa diharap parti pembangkang,
Banyak bohong lagi temberang.
Pertikaman lidah itu turut menarik beberapa penyokong kerajaan untuk mencelah, antaranya Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong), Datuk Makin @ Marcus Mojigoh (BN-Putatan), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) dan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu).
Malah, wakil rakyat pembangkang juga tidak mengalah antaranya Teresa Kok (DAP-Seputeh), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Nga Kor Ming (DAP-Taiping).