Bumbung tercabut: "Harap tak hujan, kalau tidak basah kuyup kami" - Mangsa ribut
Azee Shafy
April 14, 2022 14:44 MYT
April 14, 2022 14:44 MYT
BERA: "Harap tak hujan petang atau malam ni. Kalau tidak, basah kuyup lah kami."
Itu antara luahan Nor Azlinda Abu Kassim, 37, apabila atap bilik tidur utamanya diterbangkan angin semasa hujan lebat, petang semalam.
Menurutnya, kejadian itu berlaku sekelip mata sehingga dia tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya keselamatan anak-anaknya menjadi keutamaannya.
"Saya sedang menyiapkan juadah berbuka. Anak-anak pun ada semuanya. Hujan lebat, angin pun kuat.
"Cuma saya tak sangka, atap bilik tidur boleh tercabut dan tercampak ke garaj. Memang terpinga-pinga saya masa tu. Habis semua basah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Triang 3, di sini.
Katanya, memandangkan suaminya tiada kerana bekerja di luar kawasan, dia dan lima anaknya terpaksa tidur berhimpit dalam bilik lain kerana bumbung rumahnya tidak lagi dibaiki.
Nor Azlinda memberitahu, semua pakaian basah termasuk baju sekolah anaknya menyebabkan salah seorang daripada anaknya tidak dapat ke sekolah hari ini.
Berikutan kejadian itu, dia menerima sumbangan daripada jabatan berkaitan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung namun berharap, ada pihak yang sudi membantu membaiki bumbung rumahnya.
Sementara itu, angin ribut itu turut menjejaskan bengkel milik Azrul Ismail, 33, memandangkan kawasan itu merupakan kawasan laluan angin.
Dia yang membuka bengkel bersebelahan rumahnya lega apabila rumahnya tidak mengalami sebarang kerosakan.
"Petang tu saya dah nak keluar rumah, tapi bila tengok dah mendung, jadi saya tunggu dulu. Lepas tu, hujan lebat sekali dengan angin kuat.
"Kawasan ni memang kawasan angin. Jadi bila angin kuat tu, sekejap saja bumbung bengkel saya terangkat dan tercabut, kemudian hempap pula bumbung rumah tapi mujur rumah selamat," katanya.
Pada masa yang sama, persiapan Majlis Berbuka Puasa Ihya Ramadan Peringkat Wilayah Mempaga yang diadakan di Dewan Semai Bakti di sini juga terganggu.
Ketua Peneroka, Abd Wahab Yusoff berkata, semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Dan Getakan Persatuan Wanita (GPW) yang sedang bermesyuarat petang semalam terkejut dengan kejadian itu.
Katanya, keadaan menjadi kecoh apabila pihak katering terpaksa menyelamatkan juadah makanan yang telah siap dihidang di bawah khemah.
"Bukan sahaja hujan lebat, tapi angin kuat menyebabkan khemah terangkat. Ada juga yang cuba pegang tiang khemah tapi dihalangkan sebab kita bimbang dia akan terangkat dengan khemah.
"Bagaimanapun, keadaan terkawal. Cuma barang-barang milik katering lah rosak," katanya.