Bumbung melayang dipukul ribut, 5 pelajar cedera
Adie Sufian Zulkefli
September 24, 2018 14:00 MYT
September 24, 2018 14:00 MYT
Lima pelajar Sekolah Menengah Keat Hwa, Jalan Kuala Kedah, di sini, cedera apabila ditimpa serpihan bumbung yang melayang dalam kejadian ribut awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.05 pagi, kebanyakan pelajar dan guru baru tiba untuk memulakan sesi pembelajaran.
Bagaimanapun secara tiba-tiba angin kencang berserta hujan lebat melanda dan menerbangkan bumbung di lima blok bangunan sekolah kluster itu.
Lima pelajar cedera dilaporkan akibat terkena serpihan bumbung berkenaan.
Mangsa yang terdiri daripada pelajar perempuan dari Tingkatan 3, 5 dan 6 itu kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.
Kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.