Bumbung melayang dipukul angin, stesen LRT Kelana Jaya ditutup sementara
Rahimah Abdullah
Mac 3, 2018 17:21 MYT
Mac 3, 2018 17:21 MYT
Stesen LRT Kelana Jaya ditutup sementara waktu atas faktor keselamatan susulan hujan lebat beserta angin kencang yang melanda Petaling Jaya tengah hari tadi.
Kejadian itu menyebabkan beberapa keping atap bumbung stesen diterbangkan angin.
Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan.
"Berikutan hujan yang masih turun lebat, pihak operasi LRT laluan Kelana Jaya bertindak menutup stesen itu atas faktor keselamatan.
"Tren dari Gombak ke Putra Heights dan sebaliknya akan melalui stesen LRT Kelana Jaya tanpa henti," kata kenyataan itu.
Justeru, penumpang LRT dari Gombak atau Putra Heights yang ingin ke Stesen Kelana Jaya perlu turun di Stesen Taman Bahagia untuk menaiki bas perantara ke Stesen Kelana Jaya.
"Pengguna diminta mengikut maklumat terkini menerusi saluran media sosial di Facebook dan Twitter Rapid KL untuk mendapatkan status terkini perkhidmatan LRT," menurut kenyataan itu lagi.
Rapid KL turut memohon maaf di atas kesulitan berkenaan.
#bas
#Facebook
#kemalangan
#keselamatan
#Kuala Lumpur
#LRT
#Malaysia
#Media
#media sosial
#operasi
#Petaling Jaya
#prasarana
#Twitter