Bumbung Kolej Matrikulasi Kedah terbakar dipanah petir
Adie Sufian Zulkefli
Mac 30, 2024 07:20 MYT
Mac 30, 2024 07:20 MYT
CHANGLUN: Bumbung bangunan Kolej Matrikulasi Kedah di Changlun, dekat sini terbakar dipercayai akibat disambar petir, pada petang Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.41 petang.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) mengarahkan sebuah jentera, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Pajero Bukit Kayu Hitam ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi didapati berlaku kebakaran di bahagian bumbung bangunan Blok C2 dipercayai akibat disambar petir.
“Tindakan memadam kebakaran terus dilakukan dengan satu aliran dua pancutan serta membuat pemerhatian secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.