Bumbung, besi konkrit diterbangkan angin kencang di Kota Kinabalu

Ruzaini Zulkepli
Ogos 6, 2018 19:50 MYT
Bomba bergegas ke lokasi dan mendapati runtuhan atap sepanjang 80 meter telah menghalang laluan jalan raya. -Astro AWANI
Deretan bumbung dan besi konkrit di sebuah blok bangunan diterbangkan angin kencang dalam kejadian di Jalan Hj Saman berhadapan Jeselton Point di Kota Kinabalu, petang tadi.
Kejadian bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Menurut Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban ketika dihubungi berkata sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat.
"Bomba bergegas ke lokasi dan mendapati runtuhan atap sepanjang 80 meter telah menghalang laluan jalan raya, seterusnya bomba melakukan operasi memotong dan mengalihkan runtuhan atap tersebut bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
"Tiada kecederaan mangsa dilaporkan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Azemi Daud ketika dihubungi berkata kejadian itu ialah kategori pertama siri ribut petir dan laut bergelora di negeri itu yang dijangka akan berlaku hingga 11 Ogos.
Dalam amaran terkini yang dikeluarkan hari ini, antara kawasan yang terlibat adalah pedalaman (Beaufort, Keningau dan Tambunan), pantai barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Tongod, Telupid dan Beluran), dan juga Kudat.
#angin kencang #kemalangan #Kota Kinabalu #mangsa #operasi
;