Bumbung bangunan SMK Derma berusia 71 tahun runtuh

Salim Aziz
Julai 5, 2020 11:40 MYT
Bangunan Blok C di SMK Derma ini ditutup susulan kejadian bumbung runtuh semalam. Foto Astro AWANI
Sebahagian bumbung bangunan blok C di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma di sini runtuh, dipercayai berpunca daripada keadaan struktur yang sudah lama rosak dan reput, akibat dimakan anai-anai.
Kejadian pada 12.20 tengah hari Sabtu itu, disedari pengawal keselamatan sebelum memaklumkan perkara itu kepada pengetua sekolah.
Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Mohammad Abd Ghani berkata, kawasan yang terjejas hanya melibatkan bilik mesyuarat sekolah.
Katanya, kejadian berlaku pada hari cuti minggu persekolahan dan tidak melibatkan kemalangan jiwa mana-mana pihak.
Sebagai langkah awal jelasnya, pihak sekolah memasang pita keselamatan setelah mendapat nasihat dari Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Selepas kejadian tu, pihak JKR telah turun dan JKR elektrik telah memutuskan talian elektrik. Sekarang, kita telah maklumkan kepada bahagian aset Kementerian Pendidikan diambil tindakan.
"Yang penting, semasa kejadian itu tidak berlaku apa-apa dan semuanya selamat. Jadi, untuk sesi persekolahan esok, bangunan ini akan ditutup dulu," katanya.
Menurut Mohammad, pihak Kementerian Pendidikan juga sudah dimaklumkan untuk tindakan susulan.
Setakat ini, pihak JKR dilapor masih membuat tafsiran kerugian.
Difahamkan, sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam yang bermula sejak 24 Jun lepas, akan berjalan seperti biasa.
Bangunan blok C yang dibina pada tahun 1949 itu telah diiktiraf dan diwartakan sebagai bangunan warisan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
#bumbung #cuti sekolah #JKR #JPN Perlis #Kangar #kemalangan #Kementerian Pendidikan #kerugian #Mohammad Abd Ghani #pelajar #pengawal keselamatan #pita keselamatan #runtuh #sekolah #tutup bangunan #Warisan
;