Bumbung 20 rumah rosak akibat ribut

Sinar Harian
November 28, 2022 10:30 MYT
Penduduk yang terjejas di Kampung Pandan di sini melihat kerosakan bumbung akibat ribut pada petang Ahad. - Foto Sinar Harian
AMPANG: Sebanyak 20 buah rumah di Kampung Pandan di sini mengalami kerosakan susulan dilanda ribut pada petang Ahad.
Ketua Kampung Pandan, Syed Abdul Halim Syed Harman berkata, kejadian yang berlaku pada jam 3 petang itu menyebabkan semua rumah terbabit mengalami kerosakan di bahagian bumbung.
"Kejadian itu juga menyebabkan sebatang pokok tumbang dan menghempap tiga buah kenderaan penduduk.
"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
BACA: Empat kenderaan rosak dihempap pokok tumbang di Pandan
Syed Abdul Halim berkata, pihaknya akan menghantar laporan berkaitan kejadian itu ke Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat untuk tindakan lanjut.
"Saya difahamkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah akan menghulurkan bantuan kepada mangsa," ujarnya. - Sinar Harian
#ribut #bumbung rumah #Kampung Pandan #kerosakan
;