Buluh, daun rumbia hasilkan replika sarang tempua terbesar di Malaysia
Bernama
Ogos 24, 2019 18:26 MYT
Ogos 24, 2019 18:26 MYT
Sebanyak 400 batang buluh digunakan untuk menghasilkan replika sarang burung tempua setinggi enam meter (m) dan 6.66m lebar seterusnya dinobat sebagai ciptaan terbesar di Malaysia.
Ciptaan replika oleh 700 pelajar dan 100 guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kampar di sini bersama 40 komuniti setempat itu berjaya melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Menurut pengarah projek, Muzafar Saari, pembinaan replika itu mengambil masa selama empat bulan apabila mula dibina pada awal Mei dan siap sepenuhnya 18 Ogos lalu.
"Kita turut menggunakan setengah tan besi konkrit, 12,000 batang paku, satu lori daun rumbia selain dawai dan tali plastik untuk menghasilkan replika ini dengan kos keseluruhan sebanyak RM18, 340 hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk orang perseorangan," katanya kepada Bernama.
Sijil MBOR disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong, kepada guru besar Mohamad Azhar Ariffin pada Majlis Perasmian Reka Cipta Replika Sarang Burung Tempua Terbesar di Malaysia di sekolah berkenaan, di sini, pada Sabtu.
Menurut Muzafar yang juga guru pendidikan seni visual, sarang burung tempua dipilih sebagai objek reka cipta itu bagi melihat tahap kreativiti pelajar menghasilkan replika menggunakan kaedah anyaman unik burung tempua yang sebenar.
Selain itu, beliau berkata pelajar dapat mengembangkan bakat semula jadi dan kreativiti seni di samping mencetuskan suasana pembelajaran yang menarik serta menyeronokkan menerusi projek itu.
Katanya, projek itu turut dilihat mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kerjasama antara warga sekolah dengan komuniti setempat.
Mengenai cabaran dihadapi, Muzafar berkata, antaranya yang dihadapi adalah kesukaran mendapatkan daun yang tahan lasak selain cuaca tidak menentu.
"Apabila hujan kami terpaksa berhenti kerja, tapi replika ini tidak terjejas kerana ada lapisan plastik," katanya.
-- BERNAMA