Buli siber: PM tak puas hati, minta agensi berkaitan lebih tegas - Fahmi
Madiha Abdullah
Julai 12, 2024 17:30 MYT
Julai 12, 2024 17:30 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan cara agensi-agensi terlibat dalam menangani isu buli siber.
Ringkasan AI
- Isu Buli Siber: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan ketidakpuasan hati terhadap cara agensi yang menangani isu buli siber.
- Tindakan Tegas: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan tegas terhadap jenayah buli siber.
- Langkah Penyelesaian: Langkah-langkah termasuk meneliti pindaan undang-undang, menggubal akta baharu, dan memperbaiki hubungan antara MCMC dan PDRM untuk memudahkan proses laporan buli siber.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, susulan itu perdana menteri telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar lebih tegas dalam mengambil tindakan terhadap jenayah buli siber.
Bercakap dalam sidang media mingguannya, Fahmi turut memaklumkan beliau telah berhubung dengan pengendali media sosial TikTok dan mereka telah bersedia memberi kerjasama dalam proses siasatan.
Jelas Fahmi lagi, beberapa langkah utama sudah dibincang dengan jemaah menteri tentang cara menangani buli siber termasuk meneliti pindaan undang-undang sedia ada, meneliti keperluan untuk menggubal akta baharu, serta aspek pengurusan kelancaran hubungan antara MCMC dan PDRM.
“Kadangkala pengadu pergi ke balai polis buat laporan, kemudian mereka diminta buat laporan di MCMC. MCMC pula minta mereka buat laporan polis dan perkara itu berulang.
“Masalah ini telah dikenal pasti dan MCMC serta PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah telah bersetuju untuk meneliti bagi memudahkan proses laporan dibuat,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata golongan ahli politik dan menteri turut mengakui berhadapan dengan situasi buli siber dan penelitian terperinci perlu dijalankan kerana kebanyakannya datang dari akaun palsu.
“Saya percaya menteri berpandangan serupa, mungkin ramai mengalami dan menjadi mangsa.
“Mereka menderita dalam diam jadi kita cuba nak atasi masalah ini. Kementerian akan meneliti apa cara terbaik untuk kurangkan keberadaan akaun palsu yang digunakan dengan tujuan buli siber.
“Selain daripada itu, beberapa menteri beri pandangan yang undang-undang sedia ada sudah cukup, apa yang perlu dilakukan ialah tindakan tegas dan pantas terhadap pelaku buli siber,” tambahnya.