Buli: Senarai nama diterima turut melibatkan doktor pakar - Khairy

Bernama
Mei 12, 2022 14:55 MYT
Khairy berkata senarai anggota pasukan petugas khas bagi menyiasat isu buli itu serta terma dan rujukannya akan diumumkan esok. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Senarai nama doktor yang diterima Kementerian Kesihatan (KKM) kerana didakwa sebagai pembuli doktor junior di Hospital Pulau Pinang (HPP) turut melibatkan doktor pakar, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2022 di sini hari ini, beliau berkata Unit Integriti KKM telah diarahkan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan buli di hospital itu, manakala satu pasukan petugas khas bebas juga akan ditubuhkan.
Khairy berkata senarai anggota pasukan petugas khas bagi menyiasat isu buli itu serta terma dan rujukannya akan diumumkan esok, serta menambah bukan beliau yang mempengerusikan pasukan petugas khas itu.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin semalam telah menyerahkan nama lima doktor di HPP yang didakwa sebagai pembuli, kepada KKM.
Ditanya adakah lima doktor tersebut tersebut digantung perkhidmatan buat sementara waktu, Khairy berkata kesemua mereka masih bertugas seperti biasa namun siasatan terhadap doktor itu akan berjalan.
"Kami tidak boleh pindahkan (mereka) begitu sahaja, kami perlu memastikan dahulu apa yang berlaku...ada nama dihantar adalah pakar-pakar. Bukan senang untuk kita pindahkan pakar. Buat masa ini semua bertugas seperti biasa cuma siasatan akan berjalan," katanya.
Khairy berkata siasatan berhubung isu buli di hospital itu dijangka mengambil masa beberapa minggu untuk diselesaikan.
"Ia melibatkan tuduhan berat seperti buli dan juga budaya kerja tidak profesional. Siasatan akan libatkan sesi temu bual dengan pengadu dan pakar yang dituduh.
"Lebih baik beri sedikit masa supaya pasukan petugas khas bebas dan Unit Integriti KKM dapat jalankan siasatan seperti biasa," katanya.
Pada 17 April lepas, seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran HPP.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri pada 4 April lepas di HPP dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan polis.
-- BERNAMA
#doktor pelatih maut #integriti #Khairy Jamaluddin #pasukan petugas khas #doktor pelatih #Hospital Pulau Pinang
;