Buli di asrama: Polis tahan 4 pelajar Tingkatan Satu

Astro Awani
Disember 10, 2021 00:08 MYT
Berdasarkan video yang tular, kelihatan sekumpulan pelajar sedang mengepung seorang pelajar lain dan menumpuk perut mangsa sambil tertawa sesama mereka. - Gambar/ Media sosial
IPOH: Empat pelajar yang dipercayai menjadi suspek utama kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar yang rakaman videonya menjadi tular, ditahan polis hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, keempat-empat pelajar berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar antara jam 6 petang hingga 7 malam tadi.
"Empat pelajar telah ditahan petang tadi untuk siasatan lanjut," katanya dilaporkan Sinar Harian.
Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Mior Faridalathrash sebelum ini berkata, tujuh remaja bersama seorang mangsa masing-masing berusia 13 tahun dikenal pasti terlibat dalam kes berkenaan.
[TERKINI] Dakwaan Buli | Polis panggil pelajar, pemilik akaun media sosial
BACA: Dakwaan buli: Polis panggil pelajar, pemilik akaun media sosial
BACA: Dakwaan buli: Sekolah dikenal pasti, tunggu siasatan lanjut - Polis Perak
Kesemua mereka bersama pemilik akaun media sosial yang menularkan video kejadian tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Berdasarkan video yang tular, kelihatan sekumpulan pelajar sedang mengepung seorang pelajar lain dan menumbuk perut mangsa sambil tertawa sesama mereka.
Video berdurasi 10 saat itu telah menimbulkan kemarahan netizen dengan pelbagai komen.
#kes buli #Kuala Kangsar #sekolah berasrama penuh #polis
;