Bulgaria akan tandatangani kerjasama undang-undang dengan Malaysia

Astro Awani
Mac 26, 2016 19:09 MYT
Bulgaria akan tandatangani kerjasama undang-undang dengan Malaysia - Gambar fail
Menteri Luar Republik Bulgaria, Daniel Mitov dijadual memeterai memorandum persefahaman dengan Malaysia berhubung aktiviti kerjasama dalam bidang undang-undang dalam lawatannya pada Ahad hingga Selasa ini.
Dalam satu kenyataan Kementerian Luar, lawatan itu merupakan yang pertama buat Mitov juga julung kali oleh Menteri Luar Republik Bulgaria ke negara ini.
"Semasa lawatan tersebut, beliau dijadualkan bertemu dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman. Kedua-dua menteri dijangka bertukar pandangan mengenai isu dua hala dalam pelbagai bidang serta isu-isu serantau dan antarabangsa.
"Mitov juga dijadual bertemu dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali. Semasa pertemuan tersebut, Peguam Negara dan Mitov dijadualkan untuk menandatangani memorandum persefahaman dengan Kerajaan Republik Bulgaria mengenai aktiviti kerjasama dalam bidang undang-undang," jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Mitov juga dijadualkan bertemu Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
"Lawatan ini dijangka akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk merapatkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama sedia ada dalam bidang perdagangan dan pelancongan serta meneroka bidang kerjasama baharu," jelas kenyataan itu.
#Anifah Aman #bulgaria #Daniel Mitov #Kementerian Luar
;