Bulan Menabung Simpan SSPN 2022 jana terimaan deposit 117 peratus berbanding sasaran

Irfan Faruqi
Disember 23, 2022 19:06 MYT
PTPTN menganjurkan Bulan Menabung Simpan SSPN bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia - Gambar fail
Kuala Lumpur: Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2022 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencatatkan kejayaan dengan terimaan deposit Simpan SSPN berjumlah RM175.8 juta atau 117% berbanding sasaran awal sebanyak RM150 juta.
Pencapaian terimaan deposit Simpan SSPN yang dicatatkan jelas menunjukkan masyarakat Malaysia semakin celik kewangan dan mempunyai kesedaran untuk membuat penabungan demi masa depan.
Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff berkata, kejayaan ini juga jelas menunjukkan bahawa setiap usaha dan strategi yang dirangka mendapat sokongan padu masyarakat Malaysia.
"Hal Ini membuktikan ibu bapa semakin cakna dengan pengurusan kewangan untuk pendidikan tinggi anak-anak dalam melahirkan generasi modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.” katanya lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tahun 2022 merupakan tahun kelima PTPTN menganjurkan Bulan Menabung Simpan SSPN bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.
Pelbagai keistimewaan dan manfaat disediakan kepada pendeposit Simpan SSPN seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun.
Manfaat lain termasuklah perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan maksimun RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
#Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional #Bulan Menabung Simpan SSPN #terimaan deposit Simpan SSPN #Apli Yusoff
;