Bulan Kemerdekaan: MBI kompaun premis perniagaan enggan pasang Jalur Gemilang
Aida Aziz
Ogos 18, 2022 11:36 MYT
Ogos 18, 2022 11:36 MYT
IPOH: Semua premis perniagaan di bandar raya ini yang enggan mematuhi notis pemasangan Jalur Gemilang bersempena bulan kemerdekaan akan dikenakan kompaun berjumlah RM250.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pendekatan itu diambil selaras peruntukan di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan, atas kesalahan melanggar syarat lesen premis perniagaan.
Bagaimanapun, katanya, selama ini Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih mengamalkan sikap toleransi dengan menasihati pemilik permis berkenaan, berbanding mengenakan kompaun.
"Petang ini kita akan mula edarkan 6,000 notis pemasangan bendera di premis-premis perniagaan di Ipoh.
"Selain itu, kita juga telah memasang lebih 5,000 Jalur Gemilang di jalan-jalan utama dan sekitar bandar raya Ipoh.
"Kalau (premis perniagaan) tak pasang (Jalur Gemilang), memang boleh dikompaun tetapi biasanya kita nasihat saja dan jarang kompaun. Masih ada toleransi di situ," katanya.
Rumaizi berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh 2022, di Persiaran Bandaraya, di sini, hari ini.
Lebih 1,000 warga MBI termasuk Ahli-Ahli Majlis turut sama memeriahkan pelancaran program berkenaan.
Rumaizi berkata, pihaknya akan membuat pemantauan berkala selepas notis tersebut diserahkan kepada pemilik premis perniagaan.
"Kita akan pantau premis-premis ini untuk memastikan mereka patuh kepada arahan pemasangan, selalunya seminggu sebelum tibanya sambutan Hari Kebangsaan atau beberapa hari sebelum.
"Penduduk Ipoh pun kita galakkan untuk pasang dan kibarkan Jalur Gemilang, untuk semarakkan dan meriahkan sambutan tahun ini," tambahnya.
Dalam pada itu, Rumaizi berkata, secara peribadi beliau berpendapat selain mengibar Jalur Gemilang, kesedaran mengenai kemerdekaan juga perlu seiring.
Katanya, penghayatan nilai dan semangat yang dizahirkan menerusi Jalur Gemilang dapat menggilap kembali semangat kecintaan kepada tanah air.
"Bagi saya, 'roh' kita menyambut kemerdekaan juga penting. Kesedaran kita tentang apa itu kemerdekaan, perjuangan orang terdahulu untuk dapatkan kemerdekaan.
"Kemerdekaan itu, perlu ada satu rasa hormat antara satu sama lain. Kalau kita merdeka tetapi sikap masih lagi seperti sebelumnya, saya rasa kemerdekaan itu hanya satu majlis," katanya.
Program yang bermula sejak pukul 8.30 pagi di pekarangan MBI itu diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik sempena bulan kemerdekaan.
Antaranya termasuk perarakan pasukan Penguat Kuasa MBI, persembahan dan pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan rasmi milik MBI.