Buku Pak Lah bukan serangan keatas Tun M
Astro Awani
Februari 2, 2013 14:34 MYT
Februari 2, 2013 14:34 MYT
Penyunting buku mengenai bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bakal terbit tidak lama lagi menafikan buku itu adalah satu serangan ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Penganalisis politik, James Chin sebaliknya menjelaskan, buku itu adalah satu penerbitan akademik mengenai pentadbiran Abdullah.
"Buku itu bukan satu pendedahan dan bukan juga serangan ke atas Tun (Dr.) Mahathir. Ia sebuah buku akademik mengenai pentadbiran (Tun Abdullah) sebagai PM," tulis James Chin dalam satu e-mel kepada Astro Awani.
James Chin, pensyarah sains politik di Universiti Monash Kampus Sunway, menyunting buku itu bersama Bridget Welsh, pensyarah sains politik di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
James Chin juga menjelaskan buku itu belum siap, dan laporan sebuah portal berita mengenainya ditulis tanpa merujuk kepada beliau dan Welsh.
Sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan pada Jumaat bahawa Tun Abdullah akhirnya akan menjawab semua tuduhan yang dilemparkan ke atasnya oleh Tun Dr. Mahathir dalam sebuah buku yang akan terbit selepas Tahun Baru Cina.
Portal itu juga melaporkan, sekiranya apa yang dikatakan oleh sumber itu betul, ia adalah kali pertama Abdullah menjawab tuduhan Tun Dr. Mahathir yang bermula sejak beliau jadi Perdana Menteri pada 2003.
Serangan itu muncul selepas Abdullah mengetepikan beberapa projek pembangunan yang dimulakan oleh Dr. Mahathir termasuk membatalkan projek jambatan menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura.
Serangan itu meningkat luar biasa selepas prestasi buruk Barisan Nasional yang dipimpin oleh Abdullah dalam pilihan raya umum 2008.
Dr. Mahathir juga pernah menggesa Abdullah letak jawatan dan beliau sendiri keluar daripada UMNO dengan alasan hilang keyakinan kepada Abdullah.