Buku mengenai transformasi politik
Bernama
November 29, 2012 16:22 MYT
November 29, 2012 16:22 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memperkenalkan buku hasil karyanya yang memperincikan kewajaran setiap transformasi yang dilaksana kerajaan.
Najib memperkenalkan buku itu kepada para hadirin sejurus keluar dari Dewan Merdeka selepas menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.
Buku setebal 249 muka surat itu yang bertajuk 'Transformasi Politik: Mendaulatkan Hak Asasi Serta Demokrasi Pemerintahan Rakyat untuk Rakyat', diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITMB).
Dalam buku itu perdana menteri menjelaskan mengenai transformasi dalam sistem politik dan undang-undang yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha menyediakan Malaysia sebagai sebuah negara moden, demokratik, progresif dan mengamalkan nilai sejagat.
Menurut kenyataan ITBM yang diedar kepada pemberita, buku itu adalah naskhah penting untuk memperjelaskan perlunya anjakan politik menerusi transformasi undang-undang.
Antara bab menarik dalam buku itu ialah mengenai kajian, semakan, penambahbaikan serta pemansuhan akta serta undang-undang tertentu dalam usaha membentuk keseimbangan yang perlu dicapai dalam persekitaran masyarakat yang lebih terbuka.
Buku itu yang disunting oleh Prof Datuk Khairil Annas Jusoh dan Datuk Mazri Muhammad dijual pada harga RM32 di Semenanjung dan RM37 di Sabah dan Sarawak kini boleh didapati di pasaran.