Buku karya Anwar kini halal dipasarkan
Sinar Harian
Oktober 15, 2018 19:08 MYT
Oktober 15, 2018 19:08 MYT
Sejurus Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, karyanya berjudul 'Gelombang Kebangkitan Asia' kembali dipasarkan selepas 21 tahun.
Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu sudah lebih dua dekad tersimpan dalam stor.
Cetakan pertama naskhah berkenaan yang dicetak pada tahun 1997, disita selepas Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Jurujual DBP yang ditemui di lobi Parlimen berkata, baki buku yang tersimpan lama di stor itu dikeluarkan dan terus dijual di pasaran hari ini sempena kemenangan Anwar di Port Dickson dan kembalinya beliau ke Dewan Rakyat.
"Kami fikir Anwar dah jadi Ahli Parlimen dan menyertai kerajaan, maksudnya buku ini juga sudah 'halal' untuk dibaca oleh rakyat Malaysia.
"Ini adalah baki yang ada dalam stor simpanan kami, ini semua cetakan pertama pada 1997, memang naskhah yang 'rare' untuk dimiliki. Tadi bawa lebih kurang 50 naskhah, sekarang tinggal 15 lagi," ujarnya.
Karya itu mengetengahkan falsafah tokoh terkenal dunia, dan Anwar yang ketika itu Menteri Kewangan, memetik fikiran serta ideologi tokoh terkemuka dunia bagi memajukan masyarakat majmuk di Malaysia.
Pada 2 Sept 1998, Anwar dipecat ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kemudian menjalani hukuman penjara empat tahun atas dakwaan rasuah.
Karyanya pula tidak dibenarkan menembusi pasaran susulan krisis itu.