Buku 'Idealis Syed Hamid Albar' rungkai kisah hidupnya hadap dunia penuh penipuan

Khalis Khadir
November 27, 2024 22:26 MYT
Buku Idealis Syed Hamid Albar boleh disimpulkan sebagai kisah beliau yang mengimpikan kesempurnaan namun lupa hakikatnya dunia ini penuh penipuan. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Buku Idealis Syed Hamid Albar boleh disimpulkan sebagai kisah perjalanan bekas Menteri Luar itu yang kesal apabila terlalu berharap mencapai kesempurnaan kerana hakikatnya, dunia penuh penipuan.
Karya Noor Hasilah Ismail dan Firdaus Zainal yang turut menyentuh pembabitan Tan Sri Syed Hamid Albar dalam dunia politik tanah air itu dilancarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kita hidup di dalam dunia ini tidak sempurna, semua manusia tidak sempurna. Dunia ini pun tiada yang sempurna, tiada integriti, tiada nilai, berkecamuk manusia ikut nafsu sendiri sebab itu saya mahu lihat dunia dalam versi sempurna tapi hakikatnya dalam politik tiada, dalam dunia biasa pun tiada.
“Ramai orang boleh dikatakan cuba menipu, jadi kita tertipu dengan pentas dunia ini sebab itu kita cari macam-macam tajuk buku ini, jadi saya kata paling senang letak judul idealis sebab kita tidak boleh capai semua apa yang kita mahu namun kita boleh capai yang terbaik ikut keperluan kita," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran buku berkenaan, di sini, pada Rabu.
Permulaan cerita dalam buku ini berbentuk santai mengisahkan kewibawaan ayahanda Syed Hamid, Tan Sri Jaafar Albar dalam perjuangan menegakkan hak-hak orang Melayu dalam UMNO.
Ia memberi inspirasi kepada Syed Hamid untuk berbakti kepada negara dengan memegang beberapa portfolio penting dan kemuncaknya sebagai menteri selepas menamatkan pengajian undang-undang di luar negara.
Syed Hamid berharap, biografi yang mendedahkan jatuh bangun beliau dalam politik itu memberikan iktibar tersirat kepada pembaca bahawa kehidupan sentiasa ada pasang surut dan jangan pernah mengalah kerana setiap ujian ada penyelesaian.
#Tun Mahathir #Syed Hamid Albar #Buku Idealis #UMNO
;