Buku Ghannouchi mengenai demokrasi Islam penting untuk umat Islam - Maszlee
Pia Ernadya
Mei 8, 2024 18:57 MYT
Mei 8, 2024 18:57 MYT
KUALA LUMPUR: Buku bertajuk mengenai Muslim Democracy: Essays & Dialogue yang memberikan pandangan kritikal mengenai cabaran demokrasi Islam, mempunyai makna yang mendalam kepada umat Islam, menurut Pengerusi Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia Maszlee Malik.
Buku yang dikarang oleh Rached Ghannouchi yang merupakan salah seorang pemikir Islam terkemuka di dunia bersama Profesor Sains Politik di University of Massachusetts, Andrew F.March, dilancarkan oleh bekas Menteri Luar Malaysia Tan Sri Syed Hamid Albar di IAIS di sini pada Rabu.
Maszlee berkata, wacana yang menyelubungi Islam dan demokrasi sering menjadi polemik dan penuh dengan salah faham.
"Buku ini menjanjikan untuk memberi penerangan baharu mengena hubungan yang kompleks ini," katanya semasa pelancaran buku Muslim Democracy: Essays & Dialogue.
Buku ini mengumpulkan beberapa esei yang digarap oleh Ghannouchi yang penting dan menjadikannya tersedia dalam Bahasa Inggeris buat kali pertama. Ia juga termasuk dialog falsafah-teologi yang panjang antara Ghannouchi dan March.
Dalam dialog itu, March dan Ghannouchi membincangkan pengaruh dan evolusi pemikiran Ghannouchi dan makna konsep seperti demokrasi, pluralism, keadilan dan undang-undang merentasi tradisi falsafah Islam dan Barat.
Ghannouchi adalah ahli politik Tunisia yang terkenal serta pengasas bersama dan pemimpin semasa Pergerakan Ennahda, sebuah parti politik Islam utama di Tunisia.