Buku eratkan diplomasi budaya Malaysia-Rusia

Azlinariah Abdullah
September 4, 2022 10:20 MYT
Penulis buku, Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki (kanan) dianugerahkan sijil penghargaan semasa pelancaran buku itu pada 31 Ogos lalu di kedutaan Malaysia di Moscow oleh Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Bala Chandran Tharman. - Astro AWANI
MOSCOW: Penerbitan buku Senandika Cinta & Korona di Rusia, tulisan seorang pelajar warga Malaysia, Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki, bukan sahaja berjaya memperbetulkan sudut pandang tentang Rusia, tetapi juga dapat mengeratkan hubungan diplomatik antara Moscow dan Kuala Lumpur yang terbina sejak 55 tahun lalu.
Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Bala Chandran Tharman berkata, pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengukuhkan lagi hubungan antara dua negara.
"Pada 1960-an, Rusia sudah mula menghantar pelajar ke negara ini untuk menjalani program pertukaran pelajar. Begitu juga, Malaysia, banyak menghantar pelajarnya mengikuti jurusan Perubatan dan Kejuruteraan di universiti terkemuka di Rusia.
"Tetapi, hampir tiada nashkah dalam bahasa Melayu yang menulis tentang Rusia, budaya serta bahasanya dalam tempoh masa hubungan dua hala berlangsung. Tetapi menariknya, buku yang ditulis Ahmad Ashraff Haiqal, seorang pelajar perubatan, bukan hanya berkisar tentang Rusia, tetapi juga cuba memperbetulkan skeptikal dan stereotype tentang Rusia selama ini," katanya pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 di kedutaan Malaysia di Moscow, pada 31 Ogos lalu.
Di majlis itu, buku berkenaan dilancarkan secara ringkas dengan Duta Besar turut menganugerahkan sijil penghargaan kepada Ahmad Ashraff Haiqal sebagai pengiktirafan Kementerian Luar Negeri kerana berjaya menghasilkan buku berkenaan sebagai untuk panduan serta rujukan tentang Rusia.
Bala Chandran berkata, usaha yang dibuat Ahmad Ashraff Haiqal antara lainnya memakmurkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara.
"Saya yakin, sudah pasti, rakyat Malaysia akan lebih tertarik untuk datang ke Rusia, manakala warga Rusia pula pasti gembira apabila ada maklumat yang tidak berat sebelah terhadap mereka,'' tambahnya.
BACA: Cubaan memperbetulkan sudut pandang tentang Rusia
Sementara itu, Ahmad Ashraff berkata, buku berkenaan adalah himpunan nota atau diari sepanjang dia belajar di Volgograd State Medical University (VSMU) sejak 2019. Dia kini pelajar Tahun 4, jurusan Perubatan Am di universiti berkenaan.
"Nota atau diari kehidupan sebagai pelajar, cara memahami bahasa Rusia, cabaran berdepan empat musim yang serba serbi baharu ini , saya tulis secara ringkas dan diceritakan kepada ibu saya yang merupakan editor buku, sebelum dibaiki untuk penerbitan. Ia adalah catatan dan sebuah perjalanan rasa seputar banyak isu persepsi tentang Rusia.
"Penerbitan ini diharap dapat mempromosi hubungan antara dua negara dan memberi peluang untuk orang Malaysia mengenali Rusia dari sudut sastera, sejarah dan budaya," katanya.
Buku Senandika Cinta & Korona di Rusia setebal 213 halaman diterbitkan di Malaysia pada hujung tahun 2020 dan dijual dengan harga RM30 senaskhah.
Terdapat tujuh bab kesemuanya dalam buku berkenaan, di mana selain menceritakan mengenai situasi di Rusia ketika pandemik COVID-19 melanda negara itu, ia turut membawa pembaca memahami bahasa mudah Rusia, yang cantik, menarik dan jelik di Rusia serta bagaimana cara dan tempat-tempat menarik untuk dilawati jika ke Rusia.
Selain itu, buku yang diserahkan untuk menjadi koleksi bacaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ini turut menawarkan kepada pembaca bagaimana mengejar cita-cita menjadi doktor serta jalannya untuk belajar perubatan di Rusia.
Buku ini juga dipilih Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan 507 naskhah dibeli bagi ditempatkan di perpustakaan desa di seluruh negara.
#pelancaran buku #diplomasi malaysia-rusia #warga malaysia di luar negara
;