Buku, CD dan DVD mengandungi kalimah Allah ditahan di KLIA2 - KDN

Bernama
November 1, 2014 14:03 MYT
Penahanan penerbitan itu dibuat daripada pembawanya, Maklin bin Masiau yang tiba dari Medan, Indonesia. - Foto Fail
Buku, cakera padat (CD) dan cakera video digital (DVD) mengandungi kalimah Allah yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 dibuat kerana menimbulkan syak, kata
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.
Menurut kenyataan media kementerian itu, keadaan yang menyebabkan syak timbul ialah apabila penerbitan berkenaan diturunkan ke terminal utama lapangan terbang itu.
KDN mengeluarkan kenyataan berkenaan bagi mengulas laporan sebuah laman web berbahasa Inggeris semalam berhubung penahanan buku, CD dan DVD agama Kristian di KLIA2.
Penahanan sebanyak 574 buku (133 tajuk), 419 keping CD dan lima keping DVD telah dibuat oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia di klia2 melalui notis tahanan bertarikh 25 Oktober 2014 pukul 3.17 petang, katanya.
KDN berkata penahanan penerbitan itu dibuat daripada pembawanya, Maklin bin Masiau yang tiba dari Medan, Indonesia.
Buku, CD dan DVD yang ditahan telah diserahkan kepada pihak KDN pada 27 Oktober 2014 dan surat penahanan bagi tujuan kajian dan semakan telah dikeluarkan melalui surat bertarikh 27 Oktober 2014, katanya.
KDN berkata semakan mendapati penerbitan berkenaan telah ditahan di terminal utama KLIA2 dan ia mengandungi kalimah Allah.
"KDN pada Jumaat (31 Oktober) telah menyemak dengan pembawa dan dijelaskan bahawa penerbitan tersebut dibawa keluar ke terminal utama kerana pembawa perlu 'check-in' bagasi dan penerbangan ke Sabah.
Pada kebiasaan, jika bagi tujuan transit, bagasi tersebut akan dipindahkan terus ke pesawat seterusnya dan tidak dibawa turun ke terminal utama, " katanya.
Pada awalnya, KDN berkata pembawa menyatakan penerbitan berkenaan adalah kegunaan sendiri tetapi dinyatakan kemudiannya ia adalah bagi kegunaan gereja di Sabah.
"Sehubungan itu, surat penahanan untuk kajian dan semakan (bersifat sementara) telah dikeluarkan kepada pembawa bagi mengesahkan penerbitan tersebut dengan sebenarnya akan dibawa ke Sabah," kata KDN lagi.
KDN berkata bahawa pada masa ini pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pembawa berkenaan.
"Penerbitan tersebut akan dilepaskan sebaik mendapat pengesahan serta butir-butir lanjut daripada pembawa di Sabah," katanya.
#Buku #cakera padat #DVD #Kalimah Allah #Kementerian Dalam Negeri #KLIA2 #penahanan
;