Buktikan pemimpin PAS seleweng balak, kami akan ambil tindakan - Mat Sabu
Astro Awani
Januari 6, 2015 20:33 MYT
Januari 6, 2015 20:33 MYT
Timbalan Presiden PAS, Mohamed Sabu menegaskan partinya tidak akan membela mana-mana pemimpin partinya yang menyeleweng dan terlibat dalam skandal balak di Kelantan.
The Malaysian Insider melaporkan, Mohamed berkata, dakwaan itu perlu dibuktikan terlebih dahulu sebelum pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin PAS yang terlibat.
"Sila buktikan. Kami tidak akan bela mana-mana pemimpin yang menyeleweng," Mohamed dilaporkan berkata pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.
Mohamad bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana mendakwa tidak pernah mendengar aduan berkaitan pemimpin PAS sebelum ini.
"Ini (dakwaan) kali pertama saya dengar," katanya sambil ketawa.
Awal hari ini, sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) menggesa agar Suruhanjaya Diraja (RCI) diwujudkan untuk menyiasat pemberian konsesi balak di Kelantan yang didakwanya menjadi punca bencana banjir.
Presidennya Ramesh Rao berkata, kerajaan negeri Kelantan perlu dipersalahkan kerana tidak mengendahkan laporan alam sekitar yang diserahkan NGO alam sekitar pada tahun 2010.
"Saya minta kerajaan pusat buat Suruhanjaya Diraja untuk siasat siapa penerima konsesi balak dan bagaimana konsesi itu dianugerahkan.
"Kalau kerajaan berani menunjukkan kejantanannya, tubuhkan segera RCI ini untuk siasat skandal balak," Ramesh dipetik sebagai berkata.
Ramesh mendakwa ada pemimpin PAS di Kelantan yang mempunyai kekayaan luar biasa disembunyikan di selatan Thailand, dipercayainya hasil pembalakan.
"Kami ada bukti pemimpin PAS Kelantan terdiri daripada bekas exco dan exco sekarang memiliki harta dianggarkan lebih RM600 juta di luar negara," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim dilaporkan mahu RCI ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar banjir besar di Kelantan yang memberi kesan dahsyat sehingga menjejaskan golongan nelayan.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu telus dan menyokong penubuhan suruhanjaya itu, bagi mencari punca sebenar banjir yang menenggelamkan hampir semua daerah, kecuali Bachok dan Pasir Puteh.
“Saya lalu di sungai menuju Pulau Suri, lihat banyak balak tersadai. Saya tanya adakah ini kawasan pembalakan, mereka kata tidak. Dari mana banyak balak yang tersadai hingga menyebabkan jambatan penghubung Pulau Suri dan Teluk Renjuna, kini roboh sepenuhnya," katanya dipetik laporan Sinar Harian Online hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini turut menyifatkan kegiatan pembalakan haram yang tidak terkawal di Kelantan merupakan faktor utama banjir besar berlaku di negeri itu.
Namun Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menafikan banjir besar yang berlaku berpunca daripada kegiatan pembalakan yang tidak terkawal di Hulu Kelantan.
Ahmad sebaliknya berkata ia disebabkan hujan lebat yang berterusan di Gua Musang pada 21 hingga 23 Disember lalu.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang turut menyarankan satu jawatankuasa bertindak antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Rakyat ditubuhkan bagi menangani masalah banjir yang melanda beberapa buah negeri di Semenanjung.
Mengulas saranan Lim, Mohamad berkata perkara itu akan dibincangkan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dijadualkan bermesyuarat pada bulan ini.