TERLEBIH dahulu saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan proses Rang Undang Undang Keselamatan (RUU) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 terutamanya pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang merupakan agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab ke atas undang-undang tersebut.

Setelah tertangguh hampir satu tahun sejak ia dibacakan buat kali pertama pada 2 November 2020, RUU tersebut akhirnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 27 Oktober yang lalu setelah dibacakan buat kesekian kalinya dan dibahaskan bagi meminda Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

Seperti yang termaktub di dalam Seksyen 4, Akta 514 yang telah digazetkan pada 25 Februari 1994 antara lain bertujuan memastikan keselamatan dan kesihatan, kebajikan orang sedang bekerja, serta melindungi orang di tempat kerja selain daripada orang yang sedang bekerja (seperti orang awam) terhadap risiko keselamatan atau kesihatan yang berbangkit daripada aktiviti orang yang sedang bekerja, berlandaskan prinsip peraturan kendiri (self-regulations).

Kini, pindaan dibuat kepada Akta 514 dengan tujuh objektif utama, antaranya adalah untuk meluaskan liputan pemakaian akta kesemua tempat kerja, mengintegrasikan Akta 139 (Akta Kilang dan Jentera 1967) dan Akta 514 bagi mewujudkan satu perundangan yang komprehensif selaras dengan perkembangan semasa, dan yang lebih penting ialah untuk mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja dan penyakit pekerjaan di negara ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa sejak Akta 514 ini dikuatkuasakan, pelbagai kesan positif telah berjaya dicapai, termasuklah penurunan kematian pekerjaan, penurunan kadar kemalangan pekerja serta peningkatan pelaporan penyakit dan keracunan pekerjaan dari tahun ke tahun sejak lebih 27 tahun yang lalu.

Dalam masa yang sama, kita turut menyaksikan pelbagai kejayaan aktiviti penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh pihak JKKP terhadap majikan termasuk pendakwaan di mahkamah disiarkan di media.

Namun demikian, ucapan perbahasan oleh Datuk Mohd Hatta Md Ramli, Ahli Parlimen Lumut sewaktu membahaskan bacaan kali kedua RUU tersebut telah mencuri perhatian saya, iaitu beliau menyatakan bahawa hanya lebih kurang 2.3 peratus sahaja kadar kejayaan pendakwaan ataupun tuntutan kepada syarikat yang dibawa ke mahkamah.

Penelitian saya terhadap rakaman persidangan dan hansard Parlimen pada hari tersebut tidak menemukan sebarang jawapan daripada Datuk Seri M. Saravanan selaku Menteri Sumber Manusia ke atas isu yang dibangkitkan tersebut.

Sebaliknya pada akhir perbahasan kali kedua hanya menyatakan bahawa sebanyak 138 kes pendakwaan telah selesai dijalankan oleh JKKP dengan penalti berjumlah RM1.56 juta (purata RM11,300 / kes) bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021.

Oleh itu, YB Menteri atau JKKP sewajarnya memberi penjelasan kepada isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Lumut kerana jika benar dakwaan itu, maka pihak kementerian dan JKKP perlu membuat penelitian secara menyeluruh sama ada wujud sebarang kelemahan dalam proses pendakwaan atau siasatan kemalangan yang dijalankan sehingga membawa kepada kegagalan pihak pendakwaan di mahkamah.

Malahan ia sekali gus memberikan gambaran bahawa tiada gunanya nilai penalti maksimum dalam Akta 514 dinaikkan sehingga 10 kali ganda (sehingga RM500,000 bagi kesalahan tertentu) kerana ia tidak akan dapat membuka mata pihak berkepentingan terutamanya pihak majikan jika sekiranya kadar kejayaan kes pendakwaan di mahkamah melibatkan Akta 514 adalah sangat kecil, ibarat harimau tiada taring.

Namun demikian, jika isu yang dibangkitkan itu adalah salah atau mengelirukan, maka adalah menjadi kewajipan YB Menteri atau JKKP untuk memberikan fakta yang betul agar semua pihak mendapat maklumat yang sebenarnya, selain dapat membuktikan bahawa Akta 514 ini benar-benar mampu mewujudkan tempat kerja yang selamat selain melindungi pekerja dan orang selain pekerja dari risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan.


Ts Mohd Soffian Osman ialah Perunding Keselamatan dan Kesihatan Awam, Safety Management Academy

Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.