Buktikan ada negeri bentang laporan MB Inc, CMI di sidang DUN - Zambry
Nazialita Geynna Maharan
April 18, 2016 19:02 MYT
April 18, 2016 19:02 MYT
Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir pada Isnin mencabar pembangkang supaya membuktikan terdapat negeri yang membentangkan laporan audit Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) atau Perbadanan Ketua Menteri (CMI) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata sekiranya terbukti terdapat negeri yang membentangkan laporan audit berkenaan MB Inc dan CMI di persidangan DUN, maka Perak terbuka dan bersedia untuk berbuat demikian.
"Saya cabar kalau ada negeri yang bentang laporan audit MB Inc atau CMI kita (Perak) akan buat perkara yang sama.
"Walaupun enakmen penubuhan MB Inc tidak memperuntukkan untuk penyata kewangannya dibentangkan di dalam DUN, tetapi operasi MB Inc tetap diaudit oleh pihak yang bertauliah," katanya semasa menggulung perbahasan menjunjung kasih atas titah Diraja Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada persidangan kali ini.
Zambry berkata adalah menjadi amalan laporan audit MB Inc tidak dibentang di persidangan DUN, namun prestasi operasi serta kewangannya dipantau oleh satu Lembaga Pengurusan yang dianggotai ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.
Menteri Besar itu turut menyelar tindakan Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) dan pembangkang amnya yang dilihat gemar membandingkan Perak dengan Pulau Pinang dalam banyak perkara.
"Bagi mereka Perak adalah seburuk-buruk negeri, manakala yang diagungkan, kononnya model yang baik, ideal adalah Pulau Pinang. Sikit-sikit Perak, lepas ni bertanding di Pulau Pinanglah," katanya.
Dalam sidang media kemudiannya, Zambry berkata beliau menganggap tindakan pembangkang yang gemar memainkan isu MB Inc itu merupakan satu percubaan untuk memberi gambaran buruk kepada imej kerajaan negeri.
"Sebab itu saya sebutkan dia lebih kepada permainan politik yang cuba menggambarkan MB Inc itu merupakan institusi yang buruk, padahal ia baru sahaja bermula pada 2012 tetapi dah diserang dengan teruk," katanya.
Menyentuh mengenai Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas), Zambry berkata Institut Pengajian Tinggi (IPT) itu tidak mempunyai hutang operasi sebanyak RM1 juta sebagaimana didakwa pembangkang.
Sebaliknya, Zambry berkata Kuisas mempunyai lebihan pendapatan melebihi RM3.9 juta yang boleh digunakan menampung kos-kos operasi pada masa akan datang.
Tambahnya, Kuisas turut memberi subsidi kira-kira RM96 juta kepada 4,000 pelajar yang mana setiap penuntut diberi subsidi RM24,000 untuk tempoh empat tahun.
Zambry berkata yuran pengajian yang dikenakan oleh Kuisas bagi proram ijazah adalah RM23,400, diploma (RM14,000) sekali gus menjadikan yuran pengajian yang dikenakan oleh IPT itu adalah antara yang terendah di Malaysia.