Bukti mengenai komplot gulingkan kerajaan Malaysia didedah

Bernama
September 10, 2015 07:18 MYT
Sumber polis Thailand berkata warga Switzerland, Xavier Andre Justo membekalkan para penyiasat dengan urutan masa terperinci mengenai konspirasi untuk menggugat kerajaan Malaysia - Foto fail
Bukti daripada polis Thailand boleh dianggap penting dalam siasatan polis Malaysia terhadap peranan beberapa individu Malaysia yang terkemuka di sebalik komplot menjatuhkan kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menurut sumber-sumber polis.
Komplot itu, menurut mereka, dilaksanakan melalui kempen media bertujuan menyerang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Sumber polis Thailand berkata warga Switzerland, Xavier Andre Justo membekalkan para penyiasat dengan urutan masa terperinci mengenai konspirasi untuk menggugat kerajaan Malaysia yang dirancang oleh pihak-pihak diketuai oleh editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown sejak enam bulan lepas.
Justo, yang ditahan pada pertengahan Jun di Thailand, telah mengaku mencuri dan cuba memeras ugut bekas majikannya dengan menggunakan maklumat sulit yang dicuri dan telah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Pada April 2011, semasa bertugas sebagai ketua unit IT PetroSaudi International Ltd., (PetroSaudi), dia mencuri lebih 90 gigabyte data dari server syarikat dan kontraknya dengan syarikat tersebut ditamatkan sejurus selepas itu.
Pada 2013, Justo cuba memperoleh ganjaran kewangan daripada maklumat yang dicurinya dengan memeras bekas majikannya.
Percubaan itu gagal dan lelaki berusia 48 tahun itu mula mencari pembeli baharu bagi maklumat tersebut.
Sumber-sumber polis berkata melalui seorang rakan di Switzerland, Justo telah menghubungi ahli perniagaan yang berpusat di London, Kamal Siddiqi yang memperkenalkannya dengan Rewcastle-Brown, yang kemudian melakukan pelbagai percubaan untuk bertindak sebagai perantara bagi menjual maklumat yang dicuri dengan beberapa kumpulan Malaysia.
Menurut sumber polis Thailand, Rewcastle-Brown mulanya menghubungi Nurul Izzah Anwar, anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim yang kini dihukum penjara, bagi mendapatkan maklumat daripada Justo tetapi percubaan itu tidak berjaya berikutan perbezaan dalam kaedah pembayaran.
Selepas pelbagai percubaan dengan pembeli yang berpotensi, Rewcastle Brown akhirnya dapat menghubungi ahli pembangkang Tony Pua pada sekitar November tahun lepas yang membolehkan dia berhubung dengan pemilik The Edge Media Group, Datuk Tong Kooi Ong.
Sumber-sumber polis berkata Brown, Justo dan Tong mengadakan pertemuan di Fullerton Hotel di Singapura pada sekitar Februari tahun ini dan sejurus selepas itu, pemilik akhbar The Edge dan Justo bersetuju dengan terma-terma bagi penjualan data korporat yang dicuri itu.
Menurut sumber-sumber tersebut, Tong bersetuju membayar AS$2 juta kepada Justo Consulting Co Ltd, yang berpusat di bandar peranginan pulau Koh Samui, Thailand, bagi penjualan apa yang disifatkan sebagai "Justo Property IT Software".
Justo mengaku bahawa persetujuan tersebut bertujuan bagi membuat pembayaran untuk penjualan maklumat PetroSaudi yang dicuri.
Sejurus selepas persetujuan itu selesai, Sarawak Report mula membuat liputan agresif bersama The Edge dan portal berita Malaysian Insider mengenai perkembangan berhubung PetroSaudi dan 1MDB.
#1MDB #sumber polis #Xavier Andre Justo
;