Bukit Tabur makin terabur? Kami hanya mahu berkebun - Pemilik tanah bersuara
Hasimi Muhamad
Ogos 17, 2022 19:00 MYT
Ogos 17, 2022 19:00 MYT
AMPANG: "Kami hanya mahu berkebun di atas tanah sendiri..."
Itu luahan beberapa pemilik lot tanah di Bukit Tabur, di sini yang sebelum ini didakwa cuba menjalankan pembangunan di kawasan tersebut.
Susulan pendedahan Astro AWANI baru-baru ini dalam laporan bertajuk Bukit Tabur Makin Terabur?, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengesahkan berlaku kerja meratakan tanah tanpa permit di kawasan ini.
Ikuti penjelasan daripada beberapa pemilik lot tanah berhubung situasi sebenar dan benarkah tindakan mereka bakal merosakkan alam sekitar?
Kru Astro AWANI dibawa meninjau ke kawasan lot tanah yang didakwa sedang dibangunkan.
Lot tanah persendirian seluas dua ekar itu antara laluan utama yang digunakan penduduk dan pendaki untuk munuju ke puncak Bukit Tabur.
Dianggarkan 210 lot tanah bersatus pertanian di Bukit Tabur, adalah milik persendirian dengan keluasan kira-kira 207 ekar.
Beberapa pemilik tanah yang ditemui menegaskan, segala tohmahan kononnya berlaku penebangan hutan dan projek pembangunan, sama sekali tidak benar.
Hakikatnya, pemilik tanah berkenaan mengambil inisiatif memindahkan laluan yang membelah hampir sebahagian tanah mereka ke rizab jalan sebenar.
Salah seorang pemilik tanah, Datuk Ramli Musa berkata, tindakan itu dilakukan bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti pertanian di atas tanah persendirian yang berstatus pertanian.
"Disebabkan tanah ini berstatus pertanian, jadi kita ikut peraturan-peraturan pertanian. Saya telah minta juruukur bertauliah untuk sukat semula tanah ini apabila saya syak jalan ini telah masuk ke kawasan tanah saya.
"Jadi bila sudah sukat, sah jalan itu 100 peratus masuk ke kawasan tanah saya dan kami putuskan nak alihkan jalan ini ke tempat rizab.
"Bagi kerja-kerja mengalihkan laluan tersebut, kita menggunakan jentera. Namun, selepas tiga hari, MPAJ (keluarkan notis) menahan kegiatan tersebut," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas beliau, notis bertarikh 15 Julai 2022 yang dikeluarkan MPAJ menyebabkan usaha untuk mengalihkan laluan tersebut tergendala sehingga kini kerana larangan menggunakan jentera.
Akibatnya, tanah-tanah yang digondol terbiar begitu sahaja menampakkan seolah-olah berlaku 'pembukaan kawasan' yang kononnya bagi tujuan pembangunan.
Beberapa pemilik tanah persendirian juga terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan menanam buluh bagi mengelakkan berlaku hakisan tanah.
Malah, kerja-kerja penanaman rumput telah pun dilakukan bagi memulihkan semula tanah milik mereka sebelum rancangan untuk pertanian dijalankan.
"Pada saya kalau kita nak buat pertanian, kita mesti nak tolak tanah itu (untuk) tanam pokok. Kita nak ubah jalan ini ke tempat rizab.
"(Pertanian secara besaran) tidak, kita ada dua ekar sahaja dan cuba bayangkan berapa banyak boleh tanam? Tak kan nak buat pembangunan kat sini?" jelas Ramli.
Ramli menambah, dakwaan seolah-olah mereka 'menceroboh' kawasan tersebut adalah tohmahan yang tidak tepat.
"Saya ingat kalau nak menceroboh, (mereka yang naik) ATV atau pendaki ini yang menceroboh. Dia masuk ke tanah kita tanpa kebenaran.
"Saya minta MPAJ beri kelonggaran kepada kita untuk bawa mesin. Walaupun tak besar, kecil pun cukup untuk selesaikan kerja-kerja ini (pengalihan jalan)," katanya.
Sebelum ini, MPAJ memaklumkan, hanya aktiviti pertanian berskala kecil dibenarkan untuk diusahakan.
Begitupun, istilah berskala kecil itu dipersoalkan oleh pemilik tanah.
Apakah dengan tanah seluas dua ekar yang dimiliki setiap daripada mereka, ia boleh ditakrifkan sebagai berskala besar?
Bagi seorang lagi pemilik tanah, Wan Ahmad Afzal, kebanyakan masalah yang dihadapi oleh pemilik-pemilik tanah persendirian adalah ketiadaan tanah rizab yang menyebabkan laluan sedia ada menjejaskan perancangan mereka untuk berkebun.
"Akses jalan yang untuk rizab memang ada tetapi (ia terletak) berdekatan cerun-cerun.
"Jadi kita memang berharap sekiranya pihak Pejabat Tanah atau MPAJ boleh bantu penduduk-penduduk dekat sini untuk membuat akses jalan supaya kita boleh berkebun.
"Itu saja yang kami minta, kita bukannya nak buat pembangunan," terang Wan Ahmad.
Tindakan pemilik tanah tidak salah?
Menurut Jururunding Perancang Bandar, Zaini Nordin, aktiviti yang dijalankan oleh pemilik-pemilik tanah persendirian di Bukit Tabur adalah dibenarkan mengikut Rancangan Tempatan MPAJ 2020.
Rancangan Tempatan MPAJ untuk Gunatanah Pertanian di Bukit Tabur antaranya memberi kebenaran untuk aktiviti pertanian komersial, homestead (rumah ladang), bangunan bagi tujuan pertanian dan penyelidikan serta inap desa.
Jelas beliau, pemilik-pemilik tanah berkenaan perlu membuat kerja-kerja awalan pembersihan tanah sebelum aktiviti penanaman pokok dijalankan.
Difahamkan, tiga pemilik tanah juga telah mengemukakan pelan kepada MPAJ untuk kelulusan mengusahakan tanah pertanian.
Bagaimanapun, sehingga kini didakwa tidak menerima sebarang jawapan daripada MPAJ.
Jelas Zaini, satu garis panduan Pembangunan Tanah Pertanian perlu dikemukakan selepas mendapat maklum balas daripada Jawatankuasa Teknikal Kawasan Sensitif Alam Sekitar (JTKSAS) Negeri Selangor.
"Kita mengalu-alukan usaha MPAJ untuk menghasilkan satu garis panduan bagaimana pembangunan pertanian boleh dijalankan di kawasan ini.
"Kita pun nak tahu bagaimana kenderaan pertanian atau kerja-kerja tanah krja-kerja awalan (boleh dijalankan) kerana mereka hanya mengusahakan tanah untuk berkebun," katanya.
Dalam masa sama, Zaini berkata pemilik-pemilik tanah terbabit menyambut baik hasrat kerajaan Selangor untuk mengisytiharkan Bukit Tabur sebagai kawasan Geopark.
"Mungkin mereka akan jadikan tanah-tanah pertanian ini sebagai zon penampan kepada Geopark tersebut.
"Tetapi kalau boleh kita nak adakan dialog (dengan pihak berkaitan) supaya pemilik tanah boleh turut serta menjayakan program Geopark dan bukan sekadar mengazetkan sahaja," katanya lagi.
Selain itu, pemilik-pemilik tanah persendirian turut mencadangkan agar MPAJ menyumbang dalam membaiki tahap infrastruktur di kawasan Bukit Tabur seperti membina jalan luar bandar atau mengambil alih laluan yang digunakan sekarang untuk dijadikan jalan awam.
Pada Rabu, kerajaan Selangor dilapor sedang meninjau kemungkinan pelaksanaan pengambilan tanah kira-kira 240 hektar lot milik individu di kaki bukit Bukit Tabur.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Hee Loy Sian berkata, cadangan itu akan melibatkan mengenal pasti tanah gantian di tempat lain untuk pemilik tanah.
#Pembangunan di Bukit Tabur
#Aktiviti pertanian di Bukit Tabur
#Bukit Tabur
#Laporan khas Bukit Tabur