Bukit Merah Laketown Resort disaran guna klorinator elak Rotavirus, AGE
Bernama
Oktober 2, 2016 13:34 MYT
Oktober 2, 2016 13:34 MYT
Pihak pengurusan Taman Tema Air Bukit Merah Laketown Resort disaran supaya menggunakan klorinator bagi menggantikan kaedah pengklorinan secara manual untuk mencegah jangkitan Rotavirus dan Gastroentritis Akut (AGE).
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tempoh kontak air dengan klorin mesti mematuhi piawaian yang ditetapkan untuk mengelak jangkitan.
Katanya saranan tersebut dibuat Jabatan Kesihatan negeri Perak semasa lawatan dan pemeriksaan ke pusat rekreasi itu selepas beberapa kes Rotavirus dan AGE dilaporkan minggu ini.
Dr Noor Hisham berkata pihak pengurusan taman tema air itu juga dinasihatkan supaya melantik pemantau kualiti air yang berkelayakan dan jika tiada, pemantau sedia ada perlu diberi latihan secara berkala.
"Dicadangkan peralatan digital mudah alih (portable) digunakan dan parameter seperti baki klorin, pH, kekeruhan, potensi redox (tindak balas kimia) serta paras nitrate ditambah dalam pemantauan," katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook beliau.
Menurut Dr Noor Hisham pihak pengurusan taman tema air itu juga diminta memastikan alat penapis di rumah pam resort berkenaan diselenggara mengikut jadual agar bakteria dan virus tidak terperangkap di dalamnya.
Mengenai tindakan kawalan yang dijalankan bersama antara jabatan terlibat dengan pihak pengurusan, Dr Hisham berkata kerja-kerja 'flushing' iaitu mencuci serta mengganti semula air dengan yang bersih dan selamat telah dilakukan.
"Kementerian akan terus memantau status kejadian serta pematuhan kualiti air dalam kolam sebelum ia boleh dibuka semula kepada orang ramai," katanya.
Taman tema air itu ditutup selama 14 hari sejak Khamis lepas bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan selepas beberapa kes AGE dan Rotavirus dikesan dipercayai kerana mandi di pusat rekreasi tersebut.
Setakat semalam, 46 kes AGE direkodkan masing-masing 17 di Kedah dengan tiga daripadanya positif Rotavirus, Pulau Pinang (10 AGE, enam Rotavirus), manakala Perak 19 kes AGE.
Dr Noor Hisham menasihati orang ramai supaya tidak membawa anak-anak yang mempunyai gejala AGE seperti cirit-birit dan muntah-muntah ke kolam renang selain memastikan anak-anak kecil tidak memakai lampin pakai buang semasa mandi di kolam. - Bernama