Bukit Gelugor: Proses buang undi tenang, tiada provokasi - SPR

Haider Yutim
Mei 25, 2014 13:18 MYT
ABDUL AZIZ: Berpuas hati melihat keadaan tenang di Bukit Gelugor
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan perjalanan proses pembuangan undi setakat jam 11 pagi bagi pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor, ’begitu tenang’ dan tiada sebarang provokasi.
"Daripada perjalanan proses undi di sekolah-sekolah ini saya dapati ia begitu tenang…tidak ada provokasi dari mana-mana pihak.
"Tidak ada kumpulan-kumpulan yang melakukan kempen lagi pada waktu ini.. termasuk dari para peraih undi," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof.
Beliau mengakui sehingga setakat ini, keadaan proses pengundian berjalan begitu aman dan beliau berpuas hati serta gembira melihat keadaan tersebut.
Selain itu, Abdul Aziz turut memuji pihak polis yang telah mengawal keadaan dengan begitu baik serta telah melakukan penyediaan awal bagi menghadapi pilihan PRK ini.
Beliau memaklumkan setakat ini sebanyak 19.95 peratus telah keluar mengundi dengan purata yang keluar sebanyak enam peratus, yang disifatkannya agak rendah.
"Harap-harap peratusnya akan meningkat…sekurang-kurangnya 10 peratus. Selain itu saya juga ingin menyatakan proses di bilik undian juga berjalan begitu baik…tidak ada pengundi yang terpaksa tunggu lama," jelasnya.
Beliau juga menasihatkan calon-calon agar menghormati undang-undang dengan tidak berkempen pada hari pembuangan undi.
Abdul Aziz berharap beliau dapat melihat kotak undi mula di bawa ke pusat pengiraan undi di Dewan Sri Pinang pada jam 6.30 petang.
"Jangkaan kita tidak kurang dari 75 peratus… lagi tinggi lagi bagus. Saya juga harap pengundi supaya menyemak nama mereka dahulu sebelum datang ke pusat mengundi," katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa penarikan diri oleh calon bebas, Abu Backer Mohamad Sidek tidak sah kerana namanya sudah tertera pada kertas undi.
"Tidak boleh tarik diri…dia buat kenyataan macam mana pun, nama dia tetap tertera di kertas undi," tegas beliau.
Jelas Abdul Aziz, jika Abu Backer hendak berbuat demikian, dia sepatutnya melalukannya tidak kurang sejam selepas penamaan calon diumumkan.
#abdul aziz yusof #Abu Backer Mohamad Sidek #SPR #suruhanraya pilihan raya
;