Bukit Gelugor: Pengundi 84 tahun 'tidak rasa tenang' kalau tidak mengundi
Haider Yutim
Mei 25, 2014 12:44 MYT
Mei 25, 2014 12:44 MYT
"Kalau tak undi mak tok rasa tak tenang."
Biarpun telah berusia dan berkerusi roda, Che Embun Hashim, 84, tetap gigih melaksanakan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia dan penduduk tempatan Bukit Gelugor.
Che Embun merupakan salah seorang pengundi di Parlimen tersebut yang turun untuk membuang undi pada pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor hari ini.
"Mak tok rasa tak tenang kalau tak mengundi...dok teringat-ingat saja," katanya ketika ditanya tentang perasaannya sekiranya tidak turun untuk mengundi.
Che Embun yang tinggal di Taman Tun Sardon itu telah mengundi sejak dari Merdeka lagi dan tidak pernah terlepas dari melaksanakan tanggungjawab tersebut.
"Mak tok dah biasa undi...dah tanggungjawab, kena la mengundi," katanya ketika diiringi anaknya, Mashitah Mohd Yusof.
Bagi pengundi muda, Rozana Ishak pula, katanya setiap rakyat perlu laksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dan perlu turun untuk mengundi.
"Sebagai rakyat kita perlu pilih yang mana terbaik supaya nasib rakyat terbela," katanya.
Katanya dirinya sentiasa memilih yang terbaik dan dia dapat mengenal pasti siapa calon yang terbaik.
Sementara itu seorang lagi pengundi muda, Cheah Bee Kian berkata dia memilih untuk keluar mengundi awal pagi kerana cuacanya lebih sejuk dan tidak ramai orang.
"Pagi sejuk... orang tak ramai dan kita pun semangat," katanya.
Ditanya mengenai kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku, katanya ia tidak memberi masalah kepada dirinya.
Proses pembuangan undi bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor telah bermula pukul 8 pagi ini di 17 pusat pembuangan undi.
Pilihan raya tersebut melibatkan persaingan empat penjuru antara calon DAP, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan dua calon bebas.
Ia menyaksikan persaingan antara calon DAP Ramkarpal Singh Deo, Naib Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan, dua calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Abd Sathar dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan.
Ia telah diadakan berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh, yang juga merupakan Pengerusi Kebangsaan DAP dalam kemalangan lebuh raya pada 17 April lalu.
Pusat-pusat undian akan ditutup pada jam 5.00 petang dan keputusan dijangka diumumkan seawal jam 9.00 malam.