Bukit Fraser, Pulau Tioman dijangka dibuka semula untuk pelancongan awal Ogos - Exco
Mohd Zalani Md Atan
Julai 24, 2021 18:06 MYT
Julai 24, 2021 18:06 MYT
KUANTAN: Kerajaan Pahang bercadang untuk membuka sektor pelancongan di negeri itu secara berperingkat bermula awal bulan depan dengan Bukit Fraser dan Pulau Tioman menjadi perintis.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata pihaknya bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang mengkaji prosedur operasi standard (SOP) gelembung perlancongan yang sesuai, bagi tujuan berkenaan.
Beliau berkata, langkah berkenaan dibuat bagi menghidupkan semula sektor pelancongan di negeri ini yang sudah lama terjejas akibat pandemik COVID-19.
"Penduduk di Bukit Fraser akan menerima suntikan kedua vaksin mereka hari ini dan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak sedang meninjau kawasan itu bagi melihat SOP yang sesuai dengan norma baharu bagi membolehkannya dibuka semula.
"Selain itu, penduduk Pulau Tioman juga dijangka lengkap menerima vaksin dalam masa terdekat, namun kita akan buka Bukit Fraser dahulu disusuli pulau berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Lanchang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata SOP di kawasan pelancongan itu juga akan dijadikan rujukan bagi pembukaan lokasi tumpuan pelancong lain di negeri ini termasuk Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Taman Negara dan Taman Negeri.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri juga bercadang untuk mempercepat pemberian vaksin kepada pekerja restoran, motel, kedai cenderahati yang terlibat dengan sektor pelancongan bagi menyakinkan pelancong berkunjung ke lokasi itu.
#Bukit Fraser
#Pulau Tioman
#pelancongan
#gelembung pelancongan
#Pahang
#PKP
#PPN
#rentas negeri
#daerah
#Exco
#MKN
#SOP