Bukit Beruntung: Operasi mencari dua lagi mangsa lemas diteruskan

Astro Awani
Mac 18, 2017 16:13 MYT
Anggota Agensi Pertahanan Awam Malaysia meneruskan pencarian mangsa lemas di Kampung Timah SKC Bukit Beruntung hari ini. - Foto BERNAMA
Tiga daripada lima jenazah kanak-kanak yang ditemui mati lemas di Sungai SKC, Bukit Beruntung selamat dikebumikan tengah hari tadi.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mencari dua lagi kanak kanak yang masih hilang dengan kawasan pencarian kini diperluaskan kepada lebih lapan kilometer.
Dua mangsa yang masih hilang ialah Muhammad Ikhwan Mohd Ridwan, 10 tahun, dan Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12 tahun.
BACA: Lima lemas, dua hilang ketika memancing di Bukit Beruntung
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt R Supramaniam, hasil bedah siasat ke atas mayat lima mangsa yang ditemui setakat ini mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas.
"Pada pukul 4.09 pagi tadi, hasil daripada operasi menyelamat semalam, kami berjaya menemui lima mayat mangsa dan mereka telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk bedah siasat.
"Hasil daripada bedah siasat yang di jalankan, kita dapati punca kematian adalah disebabkan oleh lemas dan kelima-lima mangsa telah pun diserah kan kepada pihak keluarga," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, lapan kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun dari kawasan perumahan berdekatan dihanyutkan air pasang besar ketika memancing di sungai berkenaan.
Seorang daripada mereka selamat manakala lima lagi ditemukan lemas.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada 8 pagi tadi melibatkan lebih 80 anggota pelbagai agensi termasuk unit anjing pengesan K9.
#Bukit Beruntung #Kanak-kanak #mati lemas #Sungai SKC
;