Bukit Bendera jadi tumpuan warga kota biarpun dilanda jerebu

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 4, 2015 22:05 MYT
Bukit Bendera tetap menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan pelancong dari luar negara biarpun bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat. -Gambar fail
Keadaan jerebu yang melanda Pulau Pinang bukan halangan bagi pelancong mengunjungi beberapa lokasi menarik di negeri itu.
Tinjauan krew Astro AWANI di Bukit Bendera mendapati kawasan pelancongan itu tetap menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan pelancong dari luar negara biarpun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.
Beberapa pengunjung dari Shah Alam dan Kuala Lumpur berkata jerebu yang berlaku di kawasan mereka menyebabkan Pulau Pinang menjadi destinasi pilihan mereka bercuti.
"Keadaan jerebu memang menyusahkan sebab kita asyik batuk-batuk, tapi ia tidaklah sampai menghadkan terus aktiviti luar kami walaupun dalam keadaan berjerebu ini.
"Kami masih nak pergi bersama-sama kawan meluangkan masa dan berasa seronok," kata pengunjung Nor Azlinda Zailan dari Shah Alam.
Manakala pengunjung dari Klang, Izra Shahriza berkata keadaan jerebu tetap tidak menghalang mereka untuk pergi melancong ke Bukit Bendera kerana keadaan di Selangor lebih teruk berbanding kawasan ini.
"Saya rasa ia tidak memberi gangguan kerana di Selangor masih teruk jerebu berbanding di sini. Di atas Bukit Bendera ini nampak cerah dan sangat sesuai untuk membawa anak-anak ke bukit ini," katanya.
Bagi seorang lagi pengunjung dari Lembah Klang yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, biarpun jerebu melanda negara ini, dia tetap memberi sokongan kepada pelancongan domestik.
"Kita akan tetap menyumbang kepada industri pelancongan di Malaysia dan kita berasa selesa dan tiada masalah," katanya.
Sementara itu, pengunjung dari Klang, Sofia Eliza Yusuf menggunakan kesempatan ini untuk bersantai bersama keluarga.
"Walaupun musim jerebu, kita berkesempatan untuk berjalan bersama-sama dengan keluarga biarpun keadaan teruk dan ini memberi peluang kepada kita meluangkan masa dengan keluarga," katanya.
Pulau Pinang pada Ahad mencatatkan jerebu dengan IPU tidak sihat bila beberapa kawasan di Seberang Jaya 2, Perai dan Universiti Sains Malaysia (USM) mencatatkan bacaan melebihi 180.
#Bukit Bendera #IPU #jerebu #pelancong #pencemaran udara #tahap tidak sihat
;