Bukit Bendera dijangka terima pengiktirafan UNESCO - PHC
Bernama
September 19, 2020 04:54 MYT
September 19, 2020 04:54 MYT
Perbadanan Bukit Bendera (PHC) menjangkakan yang Bukit Bendera dan kawasan sekitarannya akan mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Rizab Biosfera dalam tempoh dua tahun lagi.
Pengurus Besarnya Datuk Cheok Lay Leng berkata, Kabinet baru-baru ini telah meluluskan kertas kerja untuk permohonannya yang dibentangkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
"Kami dimaklumkan awal September yang Kabinet telah meluluskan kertas kerja yang akan dihantarkan kepada UNESCO, di mana ia mungkin akan mengambil masa dua tahun untuk dinilai," katanya kepada media selepas perasmian 'Banglow Hillside Retreat' oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini pada Sabtu.
Cheok berkata, Rizab Biosfera Bukit Bendera akan menrangkumi Bukit Bendera sebagai taman utama, Taman Negara Teluk Bahang dan Taman Laut, dengan kawasan seluas lebih 12 ribu hektar dengan pihaknya telah menentukan zon teras, zon penampan, zon peralihan serta zon yang perlu dipelihara dengan jelas.
Bukit Bendera yang terdiri daripada hutan simpan semula jadi yang belum terusik itu, didapati mempunyai 85 spesies bunga orkid, lebih 100 spesies burung, tiga spesies monyet ikonik selain beberapa tumbuhan, semut dan pelbagai spesis labah-labah.
Sementara itu Chow berkata, pengiktirafan itu akan memberi manfaat kepada semua penduduk Pulau Pinang dan akan menjadi satu lagi tarikan pelancong ke Bukit Bendera.
Beliau berkata, seperti Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, ia telah meningkatkan sektor pelancongan dan menarik lebih ramai kedatangan pelancong luar sebelum terjadinya pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
#Bukit Bendera
#Cheok Lay Leng
#Chow Kon Yeow
#kabinet
#koronavirus
#pandemik
#pelancong
#pelancongan
#Penang
#pulau pinang
#Rizab Biosfera
#sektor pelancongan
#Unesco