SAYA baru berusia enam tahun ketika tragedi melanda Kampung Kacang Putih di persekitaran Gunung Cheroh, Ipoh pada tahun 1973. Pada malam itu hujan turun dengan lebat dan bekalan lektrik terganggu di sekitar kawasan berkenaan.

Penduduk sekitar menceritakan tentang batu-batu kecil yang mula jatuh sebelum bencana ngeri berlaku.   Kami yang tinggal berdekatan dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat dan kemudiannya melihat unit pasukan kecemasan tiba – sebahagian besar Kampung Kacang Putih telah ditimpa runtuhan batu yang besar dari gunung batu kapur berkenaan.

Pagi berikutnya, ramai penduduk persekitaran, termasuk abang-abang saya, menawarkan diri untuk membantu pasukan keselamatan. Malangnya ramai mangsa yang tidak dapat ditemui. Walaupun saya masih kecil ketika itu, insiden tersebut meninggalkan kesan mendalam, apabila mendengar kisah-kisah menakutkan, yang menjadi bualan penduduk peresekitaran.

Kenangan ngeri itu timbul semula apabila saya terbaca artikel baru-baru ini, yang memperingati ulang tahun ke-50 kejadian tragis itu. Ia mengingatkan saya tentang kehilangan nyawa, keperitan, dan trauma yang terkubur bersama batu-batuan yang kini tertanam di lokasi.

Saya juga teringat tentang satu lagi kejadian melibatkan bukit batu kapur pada November 2020, yang telah meragut dua nyawa di Banjaran Hotsprings Retreat. Tragedi di Banjaran Hotspring itu tidak boleh diabaikan dan dianggap sebagai suatu peristiwa yang berlaku secara kebetulan kerana semenjak peristiwa di Gunung Cheroh yang meragut 42 nyawa, terdapat 20 kejadian runtuhan yang melibatkan bukit kapur.

Sedihnya, tragedi Banjaran Hotspring itu hanya dilaporkan pada minggu kejadian dan seterusnya luput dari perhatian dan ingatan awam. Seperti mana-mana tragedi lain, kehilangan nyawa, tidak kira berapa ramai, tidak sepatutnya dilupakan begitu sahaja. Lebih mengecewakan lagi apabila tiada tindakan serius yang diambil oleh pihak berkuasa untuk menghindar berulangnya peristiwa kehilangan nyawa akibat runtuhan bukit batu kapur. 

Baru-baru ini, saya amat terganggu apabila terbaca tentang satu kes di mahkamah yang melibatkan sebuah biara di kawasan Gunung Khantan. Dilaporkan biara tersebut bertempat di kaki gunung tersebut dan turut menduduki gua di kawasan itu secara haram. Saya risau apabila membaca Kerajaan Perak mengambil keputusan untuk membentuk Jawatankuasa Khas bagi menyiasat kes ini apabila biara itu menimbulkan sentimen keagamaan setelah gagal dalam rayuan di Mahkamah untuk terus beroperasi, di tempat yang dimiliki oleh sebuah syarikat simen berdekatan.

Apa lagi yang perlu dipersoal dan dirundingkan? 50 tahun sudah berlalu semenjak tragedi Gunung Cheroh dan 20 tragedi yang melibatkan bukit batu kapur – saya tidak  boleh terima yang pihak berkuasa masih mengambil pendekatan untuk ‘menyiasat’!

Siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku satu lagi insiden di Gunung Kanthan ini pula? Malah, tidakkah keputusan kerajaan negeri ini mencerminkan sokongan terhadap mereka yang menduduki tanah milik pihak lain secara haram, akibat sentimen keagamaan yang dicanangkan? Bukankah isu keselamatan seharusnya menjadi keutamaan?

Melalui pembacaan saya, bukit batu kapur seperti Gunung Rapat, Gunung Datok, Gunung Lang, Gunung Paniang, Gua Kandu, Gunung Tambun, Gunung Panjang, Gunung Kanthan, dan Gua Tempurung adalah sebahagian penting landskap Perak.

Lokasi bukit-bukit ini terletak berdekatan dengan jalan raya, kawasan perumahan, zon pembangunan yang berpotensi, tempat tarikan pelancongan, dan pelbagai struktur.  Ada antara struktur dibina mengikut peraturan, manakala terdapat beberapa struktur yang dibina di persekitaran  bukit kapur secara haram. Saya rasa sudah tiba masanya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, terutamanya terhadap kategori struktur atau penempatan haram.

Saya turut membaca pelbagai laporan media mengenai keselamatan bukit batu kapur, di mana struktur ini pada dasarnya, didapati tidak stabil dan mempunyai risiko keselamatan yang serius kepada mereka yang tinggal berdekatan.

Pada pendapat saya, sebarang bentuk sokongan awam untuk membenarkan penempatan di kaki atau persekitaran bukit kapur adalah berlandaskan sentimen. Ia juga mencerminkan ketidakpekaan dan kurang pengetahuan tentang struktur batu kapur yang mempunyai risiko tinggi dengan tahap keselamatan yang tidak boleh diramalkan.

Keselamatan nyawa wajib menjadi keutamaan – pihak berkuasa seharusnya sedar bahawa 50 tahun telah berlalu dan keputusan untuk berbincang, mengakaji, menganalisa situasi ini hanya akan membawa kemudaratan, seolah-olah menjemput tragedi kehilangan nyawa dengan runtuhan bukit batu kapur seterusnya. Saya tertanya-tanya, mungkinkah pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri, kerana  risaukan kehilangan sokongan, apabila sesetengah pihak memainkan pelbagai sentimen termasuk sentimen keagamaan?

Pelbagai tragedi yang melibatkan bukit batu kapur telah berlaku sepanjang 50 tahun ini. Di antara punca utama adalah ketidakstabilan struktur batu kapur secara semulajadi. Seperti biasa apabila berlaku tragedi, pelbagai lapisan masyarakat akan berkongsi kesedihan, kekesalan, kekecewaan dan kemarahan. Namun, selang beberapa hari atau minggu, kita mudah lupa sehinggakan tragedi tersebut menjadi ‘basi’.

Apakah yang dapat membuka mata pihak berkuasa untuk mengambil tindakan proaktif dalam perkara ini? Dalam kes biara di Bukit Kanthan, sekiranya berlaku bencana runtuhan batu, siapakah yang akan dipertanggungjawabkan? Adakah pihak kerajaan negeri akan memikul tanggungjawab sepenuhnya kerana melambat-lambatkan mengambil tindaklan proaktif? Pihak awam pula tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan mainan sentimen akibat kurang arif tentang bahayanya struktur bukit batu kapur.

Saya harapkan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tanpa lengah, dan membuat keputusan berinformasi, tanpa mengambilkira mainan sentimen beberapa pihak yang bersuara lantang. Keputusan hendaklah berpandukan pandangan pakar dan data saintifik yang telahpun dikongsi oleh pakar melalui media, beberapa tahun kebelakangan ini.

Elakkan tragedi seterusnya dan utamakanlah keselamatan!

- Azlina Din



* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.