Bukit Aman tangkap 371 anggota sindiket penyeludupan manusia selama 4 hari

Astro Awani
Jun 10, 2020 18:08 MYT
Antara PATI yang ditahan dalam beberapa operasi pihak berkuasa sepanjang tahun ini. Gambar fail
Bukit Aman memberkas seramai 371 anggota sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) dalam operasi khas di beberapa negeri selama empat hari minggu lalu.
Antara semua suspek yang ditahan dalam Op COVID-19 Benteng Fasa Tiga bermula 4 Jun itu dipercayai bertindak sebagai tekong darat serta laut, ejen dan penyedia rumah transit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek ditahan membabitkan 345 lelaki dan 26 wanita terdiri daripada warga tempatan selain Indonesia, Filipina, Bangladesh serta Myanmar.
"Berdasarkan pecahan, seramai 124 orang yang ditahan adalah ejen, pembawa (102), tekong (97) dan penjaga rumah transit atau rumah penampungan (48).
"Semua mereka berusia antara 20 hingga 70 tahun," katanya pada sidang media di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, empat kertas siasatan berkaitan jenayah terancang selain 70 kertas siasatan berkaitan penyeludupan migran dibuka berhubung operasi berkenaan.
Beliau berkata, secara keseluruhan, jumlah keseluruhan ahli sindiket penyeludupan migran atau PATI yang ditahan sejak Januari sehingga 7 jun lalu adalah seramai 547 orang.
Katanya, Op COVID-19 Benteng Fasa Satu dilancarkan 1 Januari hingga 13 Mac lalu, sebelum Fasa Dua disambung semula pada 18 Mac hingga 3 Jun ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).
Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperketatkan kawalan sempadan negara terutama lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan tikus bagi membendung pencerobohan PATI.
Katanya, tindakan lebih tegas juga diambil termasuk semua suspek yang ditahan akan disiasat kerana
Antara tindakan drastik dan tegas adalah suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langlah Khas) 2012 (Sosma).
"Tujuan PDRM membuka siasatan di bawah kesalahan jenayah terancang dan juga Sosma ini adalah kerana kita mendapati hukuman yang dikenakan sebelum ini tidak memberi kesan serius.
"Suspek yang pernah ditahan didapati meneruskan semula kegiatan haram selepas menamatkan hukuman," katanya.
#antarabangsa #Bukit Aman #migran #modus operandi #pasukan khas #pati #pendatang tanpa izin #penyeludupan manusia #polis #siasatan #sindiket
;