Bukit Aman siasat video tular pelancong diminta bayar saman RM100
Astro Awani
Januari 28, 2024 23:20 MYT
Januari 28, 2024 23:20 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Bukit Aman sedang menyiasat video tular yang memaparkan seorang polis trafik didakwa mengambil RM100 daripada dua pelancong asing dengan alasan menjelaskan saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSJPT), Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata PDRM mengambil maklum video yang tular di media sosial pada Ahad dan siasatan terperinci akan dijalankan.
"Pihak JSPT mengambil maklum akan kejadian yang berlaku dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan tersebut serta tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohd Azman turut menggesa pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil membantu siasatan.
Terdahulu, menerusi video berdurasi 50 saat yang tersebar di platform X itu, pasangan pelancong dari United Kingdom tersebut disaman oleh polis trafik kerana didakwa memandu melebihi had laju.
Apabila ditanya apa yang perlu dilakukan mereka, polis berkenaan memberitahu mereka boleh menjelaskan saman RM300 di balai polis berdekatan atau membayar RM100 kepadanya di lokasi itu.
"Bayar di balai polis, RM300. Bayar sini, RM100," katanya kepada pemandu wanita itu.
Pelancong itu kemudiannya membayar RM100 kepada polis itu, dan bertanya jika mereka perlu menyerahkan dokumen mereka untuk disemak.
Namun polis itu memaklumkan ia tidak perlu.
Rakaman video berkenaan te;ah dimuat naik di saluran YouTube pelancong berkenaan.