Bukit Aman siasat kematian lelaki dalam tahanan polis di Kuala Kangsar
Bernama
Januari 30, 2022 16:54 MYT
Januari 30, 2022 16:54 MYT
KUALA LUMPUR: Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes seorang lelaki yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis di Kuala Kangsar, Perak.
Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai pesakit mental yang mengamuk dan menyerang bapanya di sebuah rumah di Kampung Temong Hilir, Kuala Kangsar pada 7 malam, semalam.
"Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati suspek dalam keadaan agresif dan sedang bergelut sebelum ditahan empat lelaki termasuk bapanya.
"Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan. Lelaki itu bagaimanapun tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azri berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh.
-- BERNAMA