Bukit Aman siasat ajaran sesat 'Perjalanan Mimpi Yang Terakhir'
Nickyson Nyambar
September 3, 2021 23:02 MYT
September 3, 2021 23:02 MYT
KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka siasatan mengenai seorang wanita yang dikaitkan dengan ajaran sesat dikenali sebagai 'Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT)'.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam kenyataan malam ini berkata, siasatan menjurus kepada penularan beberapa rakaman video yang menyentuh akidah dan ajaran Islam menerusi media sosial.
"Polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook 'Masitah Ab Jalar' atau dikenali dengan nama Sittah Annur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ajaran sesat PMYT.
"Siasatan menjurus kepada penularan beberapa rakaman video mengandungi kenyataan yang menyentuh akidah serta ajaran Islam melalui akaun YouTube 'Cahaya Islam' dan 'S'ttah An Nur' PMYT serta di pelbagai platform media sosial lain sejak beberapa hari yang lalu," katanya.
Pihak polis pada masa sama, turut giat mengesan individu lain yang terlibat bagi melengkapkan siasatan, katanya.
"Antara kandungan rakaman video yang tular adalah pengakuan wanita tersebut mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah SWT, malaikat dan Nabi Muhammad SAW.
"Dia turut mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya kononnya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya dari menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah," jelasnya dalam kenyataan sama.
Abd Jalil berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan prihatin terutamanya terhadap isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
"PDRM turut menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.
"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," tambah beliau.