Bukit Aman siasat 644 kes along
Bernama
Oktober 13, 2021 23:47 MYT
Oktober 13, 2021 23:47 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 644 kes pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along disiasat dari Januari hingga September tahun ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din.
Beliau berkata kegiatan sindiket itu masih berlaku kerana wujudnya permintaan dalam kalangan peminjam.
"Polis masih mengesan kegiatan penawaran kerja oleh sindiket berkenaan kepada golongan peminjam. Dua kes itu dikesan di Sabah menerusi penawaran kerja dalam keadaan membabitkan pinjaman individu yang tidak diluluskan serta bagi individu yang gagal melunaskan bayaran hutang mereka.
"Walaupun larangan melibatkan diri dengan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen dikeluarkan, kegiatan itu masih berlaku di negeri itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sindiket itu didapati menawarkan pekerjaan kepada peminjam yang pinjamannya tidak diluluskan untuk bekerja sebagai penyimbah cat atau penghantar notis ugutan dan mereka akan diberikan upah atas kerja dilakukan.
"Bagi peminjam yang gagal melunaskan pembayaran pula, akan diminta bekerja dengan sindiket terbabit sementara jumlah hutang mereka akan ditolak berdasarkan kerja yang diselesaikan.
"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk tidak sesekali membuat pinjaman dengan mana-mana institusi pinjaman wang tidak berlesen," katanya.
Mohd Kamarudin menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat sebagai pekerja atau membantu sindiket pinjaman wang tanpa lesen untuk membuat gangguan mahupun khianat walaupun secara paksaan kerana ia merupakan suatu kesalahan jenayah.
"Tindakan bersekongkol dengan sindiket terbabit secara rela hati atau paksaan untuk melakukan gangguan dan khianat boleh disiasat di bawah undang-undang Seksyen 5 (2) dan Seksyen 29b (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) masing-masing iaitu bagi menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen serta mendatangkan gangguan kepada pihak peminjam," katanya.
-- BERNAMA